11: SYARAT YANG PERLU UNTUK MELAKUKAN
ZIKIR
Salah satu syarat menyediakan seseorang
untuk berzikir ialah berada di dalam keadaan berwuduk; basuh dan bersihkan
tubuh badan dan sucikan hati. Pada peringkat permulaan, supaya zikir itu
berkesan, perlulah disebut kuat-kuat akan perkataan dan ayat yang dijadikan
zikir – kalimah tauhid, sifat-sifat Allah. Bila perkataan tersebut diucapkan
usahakan agar kamu berada di dalam kesedaran (tidak lalai). Dengan cara
ini hati mendengar ucapan zikir dan diterangi oleh apa yang dizikirkan.
Ia menerima tenaga dan menjadi hidup – bukan sahaja hidup di dunia ini
bahkan juga hidup abadi di akhirat.
Nabi s.a.w menceritakan bahawa keadaan orang mukmin yang mencapai yang hak melalui zikir, “Orang mukmin tidak mati. Mereka hanya meninggalkan hidup yang sementara ini dan pergi kepada kehidupan abadi”. Dan mereka lakukan di sana apa yang mereka lakukan dalam dunia. Nabi s.a.w bersabda, “Nabi-nabi dan orang-orang yang hampir dengan Allah terus beribadat di dalam kubur seperti yang mereka lakukan di dalam rumah mereka”. Ibadat yang dimaksudkan itu adalah penyerahan dan merendahkan diri rohani kepada Allah bukan sembahyang yang lima waktu sehari. Tawaduk yang di dalam diri, dengan diam, adalah nilai utama yang menunjukkan iman yang sejati. Makrifat tidak dicapai oleh manusia dengan usaha tetapi ia adalah anugerah dari Allah. Setelah dinaikkan kepada makam tersebut orang arif menjadi akrab dengan rahsia-rahsia Allah. Allah membawa seseorang kepada rahsia-rahsia-Nya apabila hati orang itu hidup dan sedar dengan zikir atau ingatan kepada-Nya dan jika hati yang sedar itu bersedia menerima yang hak. Nabi s.a.w bersabda, “Mataku tidur tetapi hatiku jaga”. Pentingnya memperolehi makrifat dan hakikat
diterangkan oleh Nabi s.a.w, “Jika seseorang berniat
mempelajari dan beramal menurut keinginannya itu tetapi mati sebelum mencapai
tujuannya, Allah melantik dua orang malaikat sebagai guru yang mengajarnya
ilmu dan makrifat sampai ke hari kiamat. Orang itu dibangkitkan dari kuburnya
sebagai orang arif yang telah memperolehi hakikat”. Dua orang
malaikat di sini menunjukkan roh Nabi Muhammad s.a.w dan cahaya cinta yang
menghubungkan insan dengan Allah. Pentingnya niat dan hajat selanjutnya
diceritakan oleh Nabi s.a.w, “Ramai yang berniat
belajar tetapi mati ketika masih di dalam kejahilam tetapi mereka bangkit
daripada kubur pada hari pembalasan sebagai orang arif. Ramai ahli ilmu
dibangkitkan pada hari itu dalam keadaan rosak akhlak hilang segalanya
dan jahil keseluruhannya”. Mereka adalah orang-orang yang bermegah
dengan ilmu mereka, yang menuntut ilmu kerana muslihat duniawi dan berbuat
dosa. Mereka diberi amaran:
Nabi s.a.w bersabda, “Setiap
amal bergantung pada niat. Niat dan tujuan orang beriman lebih baik dan
bernilai pada pandangan Allah daripada amalannya. Niat orang yang tidak
beriman lebih buruk daripada apa yang nyata dengan amalannya”.
Niat adalah asas amalan. Nabi s.a.w, “Adalah baik
membena kerja kebajikan di atas tapak yang baik, dan dosa adalah perbuatan
yang dibina di atas tapak yang jahat”.
Cara terbaik ialah mencari guru kerohanian
yang akan membawa hati kamu hidup. Ini akan menyelamatkan kamu di akhirat.
Ini adalah penting; ia mesti dilakukan segera ketika masih hidup. Dunia
ini kebun akhirat. Orang yang tidak menanam di sini tidak boleh menuai
di sana. Jadi, bercucuk tanamlah di dalam dunia ini dengan benih yang diperlukan
untuk kesejahteraan hidup di sini dan juga di akhirat.
|
|
|