Make your own free website on Tripod.com
 
11: SEMANGAT PERKAUMAN
12: SOROTAN KES-KES YANG TELAH DIBINCANGKAN
13: MENGENALI TENAGA PEROSAK MELALUI KACAMATA AGAMA

11: SEMANGAT PERKAUMAN

Setiap manusia diciptakan dengan membawa identity khusus baginya. Identiti mula diperolehi seseorang manusia ketika dia berada di dalam sulbi bapanya, sebelum lagi dia menjadi air mani. Kemudian dia turun ke kandungan ibunya membawa bersama-samanya identity yang diwarisi daripada bapanya. Bila cukup saatnya dia pun keluar ke dunia dan nyatalah identity yang sentiasa menemaninya itu. Identiti tersebut menyebabkan dia dikenali sebagai satu individu yang menzahirkan beberapa aspek pengenalan. Identiti yang dimilikinya membuatnya dikenali sebagai seorang manusia yang boleh dibezakan dari haiwan dan makhluk yang lain. Identiti itu juga memungkinkan dia dikenali sebagai seorang manusia yang berbangsa tertentu. Identiti itu juga menyebabkan dia dikenali sebagai satu individu bagi satu keluarga atau keturunan. Identiti itu bertindak seperti kilang menghasilkan naluri-naluri mencintai sesuatu aspek yang dengannya dia dikenali. Naluri itu boleh dibahasakan sebagai perasaan atau semangat. Pada peringkat individu semangat itu muncul sebagai “AKU’. Semangat keakuan menjadi induk kepada semua semangat. Semangat keakuan yang dimiliki oleh setiap individu mengwujudkan sistem hakmilik perseorangan yang dihormati oleh individu yang lain. Maka bolehlah dikata dan diterima kenyataan; nama aku, anak aku, isteri aku, tanah aku, pekerjaan aku, maruah aku dan berbagai-bagai tuntutan yang lain yang diperakui oleh individu yang lain. Satu contoh yang ketara tentang semangat keakuan ini ialah ketika seseorang melihat sekeping gambar yang memaparkan ramai orang. Semangat keakuan menggesa seseorang supaya mencari wajahnya dicelah-celah puluhan wajah dalam gambar itu.

Semangat keakuan bukan sahaja mengwujudkan sistem hakmilik. Semangat ini juga melahirkan kecenderungan untuk mempertahankan hakmilik. Mempertahankan hakmilik itu sebenarnya adalah mempertahankan semangat keakuan itu sendiri. Kekuatan semangat ini ada dalam beberapa peringkat. Bila ia naik ke paras yang tinggi ia menjadi semangat taksub kepada diri sendiri serta mementingkan diri sendiri. Ia bukan sahaja mempertahankan hakmiliknya malah ia juga cuba merampas hakmilik individu lain. Bila ia berada pada tahap pertengahan ia dipanggil melindungi hakmilik sendiri tanpa mengancam hakmilik orang lain. Bila ia turun ke paras rendah ia menjadi semangat yang tidak mementingkan diri sendiri dan bersedia untuk berpisah dengan sesuatu yang termasuk ke dalam tuntutan hakmiliknya.

Pada peringkat individu seseorang itu mempunyai identity yang khusus. Walaupun identity itu khusus namun identity itu masih mempunyai faktor kesamaan dengan beberapa individu yang lain. Individu-individu yang berkongsi faktor kesamaan itu akan berkongsi hakmilik yang serupa atau sama. Perkongsian hakmilik yang paling hampir dengan satu-satu individu ialah semangat kekeluargaan. Identiti itu juga boleh berkongsi faktor kesamaan untuk membentuk ikatan yang lebih besar. Bila bangsa menjadi faktor kesamaan maka yang terbentuk adalah semangat kebangsaan. Bila negeri menjadi faktor kesamaan maka yang terbentuk adalah semangat kenegerian. Banyak jenis faktor kesamaan yang boleh mengikat berbagai-bagai individu. Antaranya ialah kelab, kelas, persatuan dan lain-lain. Jadi pada satu individu itu semangat keakuannya boleh menuntut dan mempertahankan hakmilik kekeluargaan, kedaerahan, kenegerian dan kenegaraan dengan menjadikan kebangsaan sebagai induk kepada semua perkongsian. Keakuan yang bergerak melalui jalan kebangsaan boleh membentuk kesatuan negara-negara yang sama rumpun bahasa. Keakuan juga boleh bergerak melalui keagamaan dan ia mampu membentuk kesatuan negara-negara seagama yang lebih besar kumpulannya daripada kesatuan melalui kebangsaan. Selain itu keakuan juga boleh bergerak melalui kemanusiaan. Bila kemanusiaan menjadi faktor kesamaan maka semua bangsa dan semua negara di dunia boleh membentuk kesatuan seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Walaupun keakuan menggabungkan dirinya ke dalam perkumpulan namun, kepentingan keakuan itu sendiri tidak terhapus hanya mungkin lebih terkawal. Apabila berada dalam kumpulan kecil kepentingan peribadi lebih menguasai keakuan itu. Bila kumpulan lebih besar terbentuk kepentingan kedaerahan, kenegerian dan kebangsaan lebih menonjol. Ini bermakna keakuan boleh berubah menjadi kedaerahan, kekelaban, kenegerian, kebangsaan, kenegaraan, keagamaan dan sebagainya. Walaupun ia memakai pakaian yang berbeza-beza namun ia tetap berasaskan keakuan individu itu sendiri. Jadi, tenaga yang telah memasuki seseorang individu itu tetap mempengaruhi keakuannya walaupun ia memakai pakaian yang berbagai-bagai. Tenaga yang telah menguasai seseorang itulah yang mempengaruhi tindak-tanduk individu itu di dalam pakaian semasa yang dipakainya.

Kita telah melihat bagaimana seseorang itu dimasuki oleh berbagai-bagai jenis tenaga perosak. Tenaga perosak itu akan bergerak melalui individu tersebut untuk masuk ke dalam kumpulan yang dianggotainya. Biasanya ia akan masuk sebagai tenaga taksub kepada kumpulan, yang berasaskan taksub kepada diri sendiri. Kepentingan diri yang tersembunyi di dalam kepentingan kumpulan itulah yang dijadikan topeng. Tenaga taksub ini akan memperlihatkan yang kumpulannya sahaja yang mempunyai hak dan yang benar. Sering kali tenaga taksub membuat manusia bertindak di luar batas kemanusiaan.

Kita pernah menyaksikan kesan tenaga taksub yang mencetuskan kekacauan pada perlawanan bola sepak. Bermula dengan taksub kepada kedirian satu kumpulan manusia yang berkongsi faktor kesamaan yang serupa bergabung untuk mengwujudkan tenaga taksub yang sangat kuat. Tenaga taksub itu tidak mahu tunduk kepada kekalahan. Jika kumpulannya kalah maka kekalahan itu adalah kerana ia dikhianati. Apabila berhadapan dengan kekalahan tenaga taksub akan mencari si pengkhianat. Biasanya yang menjadi ‘pengkhianat’ dalam perlawanan bola sepak adalah pengadil dan penjaga garisan. Pemain-pemain lawan juga boleh menjadi ‘pengkhianat’ kerana mencederakan pemain harapannya. Jika tenaga taksub ini keluar secara terkawal maka yang keluar hanyalah rungutan dan makian sebagai menunjukkan kemarahan kepada pengadil, penjaga garisan dan pemain-pemain lawan. Jika tenaga taksub dapat menguasai mangsanya dengan sepenuhnya maka akan tercetuslah ‘peperangan menghapuskan pengkhianat’. Oleh kerana tenaga taksub bergerak dalam kedua-dua kumpulan yang terlibat maka bertembunglah tenaga yang kuat dari dua pihak itu. Bila taksub sudah menguasai akal fikiran tidak terdaya lagi mengawal. Terjadilah kekacauan yang besar. Dua kumpulan yang besar ‘berperang’ yang pada asasnya adalah dua individu yang taksub kepada diri masing-masing.

Taksub kedirian apabila bergerak melalui kaum atau bangsa akan terbentuklah semangat perkauman yang melampau. Semangat perkauman yang sederhana adalah sesuatu tabiat yang semulajadi bagi manusia. Semangat ini yang mendorong manusia mencari kesejahteraan kepada bangsa mereka. Ia juga merupakan semangat menyintai bangsa. Boleh dikatakan semua anggota sesuatu bangsa mempunyai rasa kecintaan kepada bangsa sendiri. Ia adalah sesuatu yang normal. Tetapi sekiranya ia menjulang tinggi melebihi batas normal ia menjadi melampau, bertukar kepada taksub. Ahli bangsa yang normal, yang tidak taksub, akan bekerja membangun bangsa sendiri tanpa melupai bangsa lain yang juga mempunyai hak dan kepentingan. Golongan yang seperti inilah yang biasanya menjadi pemimpin bangsa yang boleh berkompromi dengan pemimpin bangsa yang lain, yang juga tidak taksub. Pekerjaan pemimpin yang begini akan mendapat tentangan daripada individu-individu yang taksub dalam kumpulan bangsanya dan juga bangsa lain. Apabila tenaga taksub dapat mengalahkan tenaga kewarasan akan timbullah rusuhan kaum, sebagaimana yang dapat dilihat berlaku di seluruh dunia.

Bagi setiap bangsa ada sesuatu yang ditaksubkan oleh kebanyakan ahli anggota bangsa tersebut. Sesuatu itu adalah hak bangsa. Hak bangsa itu boleh jadi kuasa politik, kuasa ekonomi, kebudayaan dan adat resam atau apa sahaja yang dicintai oleh kebanyakan ahli bangsa itu. Tenaga taksub yang terkawal akan keluar dari kandangnya jika hak bangsa ini dicabuli. Oleh yang demikian menghormati hak sesuatu bangsa itu penting untuk membendung berlakunya rusuhan antara kaum. Bangsa-bangsa yang terlibat harus memahami dan menghormati hak bangsa lain dan memperakui keluhuran bangsa itu mempertahankan hak mereka. Semua bangsa harus sampai kepada titik persefahaman bersama.

Semangat perkauman yang taksub harus ditekan dengan semangat kemanusiaan yang murni. Semua manusia dinamakan manusia kerana mereka mempunyai kemanusiaan. Begitu juga semua haiwan dinamakan haiwan kerana mereka mempunyai kehaiwanan. Manusia sejak kewujudan manusia yang pertama Hinggalah kepada manusia yang terakhir akan tetap memiliki kemanusiaan. Kemanusiaan sejak manusia yang pertama akan tetap mengikat keturunan manusia, sehingga tidak ada manusia yang menjadi haiwan atau tumbuh-tumbuhan. Andaikata rantaian kemanusiaan ini putus akan berlakulah kekacauan pada kelahiran manusia, mungkin ramailah ibu-ibu yang tidak melahirkan manusia sebaliknya melahirkan harimau, tikus, rambutan, ikan dan lain-lain. Tetapi oleh kerana rantaian kemanusiaan tidak putus dan tidak akan putus maka ibu-ibu akan terus melahirkan manusia sehinggalah kepada ibu terakhir yang melahirkan anak. Jadi, semua manusia diikat oleh kemanusiaan.

Apakah kemanusiaan? Bagaimanakah rupanya? Kemanusiaan adalah tanda pengenalan yang membezakan manusia daripada yang bukan manusia. Haiwan mempunyai tanda pengenalannya dan begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan. Tanda itulah yang menyebabkan satu jenis dapat dikenal dan dibezakan daripada jenis yang lain. Tiap jenis membawa unsur atau sifat khusus untuk jenisnya yang dengan itulah ia dikenal. Kemanusiaan membawa unsur atau sifat khusus yang boleh membezakannya daripada bukan manusia. Walaupun manusia dikenali sebagai manusia kerana unsur atau sifat kemanusiaan yang menguasainya namun tidak ada sesiapa yang dapat melukis rupa kemanusiaan itu. Orang boleh melukis rupa Ali, Ah Chong dan Mutusami tetapi tidak mampu melukis rupa kemanusiaan yang dimiliki oleh Ali, Ah Chong dan Mutusami sedangkan kemanusiaan itulah yang menyebabkan Ali, Ah Chong dan Mutusami dikenali sebagai manusia.

Kemanusiaan bukanlah sesuatu yang boleh digambarkan. Tidak ada alat yang dapat menzahirkan kemanusiaan. Jika dicari kemanusiaan pada semua manusia yang masih hidup dan juga yang telah mati, kemanusiaan hanya boleh diakui kewujudannya tetapi tidak dapat ditemui. Ia tidak boleh ditemui dalam diri manusia tetapi diakui mengikat semua manusia. Jadi, semua manusia adalah serupa, iaitu mereka berkongsi kemanusiaan yang sama. Mereka adalah satu bangsa iaitu bangsa manusia. Tidak ada manusia yang berbangsa haiwan atau tumbuh-tumbuhan atau jin. Manusia yang satu bangsa itu berpecah-pecah kepada berbagai-bagai bangsa berdasarkan sifat keakuan yang mengheret mereka pada jalan kekeluargaan dan kumpulan. Fakta sejarah dan geografi mengikat manusia secara berkumpulan. Apa yang dipanggil bangsa itu sebenarnya hanyalah keakuan individu-individu yang berkongsi hakmilik terhadap kesan sejarah dan geografi yang sama. Manusia menjadi berbeza-beza lantaran hakmilik bangsa yang diwujudkan oleh sejarah dan geografi. Tetapi manusia tetap sama dari segi kemanusiaan. Semua manusia berkongsi nilai-nilai murni kemanusiaan yang sama. Nilai-nilai murni kemanusiaan itulah yang mendorong semua bangsa membentuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Kemanusiaan membuat manusia memiliki sistem nilai yang serupa. Hanya Perbezaan yang kecil sahaja terdapat di sana sini. Semua bangsa manusia mengakui mencuri dan membunuh itu salah. Oleh sebab sistem penilaian yang ada pada diri manusia itu serupa maka ahli satu bangsa boleh menggubal undang-undang dan tatacara yang mampu diterima oleh semua bangsa di dunia. Nilai-nilai murni kemanusiaan selalunya ditekan oleh tenaga taksub keakuan dan kebangsaan. Tenaga-tenaga perosak yang menguasai manusia menggunakan taksub sebagai alasan untuk meruntuhkan nilai-nilai murni tersebut. Oleh sebab pentingnya memelihara nilai yang murni daripada dinodai oleh ketaksuban yang hilang pertimbangan maka wujudlah apa yang dikenali sebagai agama.

Ajaran yang dibawa oleh agama-agama boleh dibahagikan kepada dua bahagian besar. Pertama, hubungan manusia dengan manusia. Kedua, hubungan manusia dengan Tuhan. Agama bercanggah pandangan tentang Tuhan tetapi berpakat dalam kebanyakan hal yang menyentuh kemanusiaan. Dalam aspek kemanusiaan agama menyetujui nilai-nilai murni yang sudah ada pada kemanusiaan. Nilai buruk dan baik yang dibentangkan oleh kemanusiaan itulah juga nilai buruk dan baik yang dibentangkan oleh agama. Kemanusiaan dan agama sama-sama menyalahkan perbuatan seperti mencuri, membunuh, rasuah dan lain-lain. Tidak ada percanggahan di antara agama dengan kemanusiaan. Ahli fikir dapat menghasilkan perundangan kemanusiaan yang selaras dengan agama tanpa merujuk kepada ahli agama. Di sini dapat dilihat betapa sesuainya kebanyakan agama dengan kemanusiaan.

Agama mempunyai tarikan dan pengaruh yang kuat terhadap manusia. Oleh itu tenaga agama seharusnya digunakan dengan bijak di dalam membendung api perkauman. Agama harus menjadi alat yang penting dalam mengharmonikan berbagai-bagai kaum, bangsa dan agama dalam sesebuah negara. Setiap penganut sesuatu agama harus didedahkan kepada nilai murni yang diperjuangkan oleh agama tersebut dan mereka juga harus disedarkan bahawa penganut agama lain juga memperjuangkan nilai murni yang serupa. Titik pertemuan dan persefahaman dalam agama-agama harus ditonjolkan supaya semua pihak berjuang ke arah yang sama yang tidak bertentangan dengan nilai yang sudah dimiliki oleh semua orang. Wakil tiap-tiap agama harus lebih kerap berjumpa dan berbincang bagi membentuk arah kehidupan rakyat di dalam satu-satu negara itu. Jika konsep ketuhanan tidak dijadikan isu perbalahan maka semua ahli-ahli agama-agama dapat duduk dengan harmoni membincangkan isu manusia sejagat.

Perlu pula diingatkan bahawa dalam kumpulan agama terdapat juga individu yang dikuasai oleh tenaga taksub. Tenaga taksub yang merosakkan apabila memakai pakaian agama akan lebih sukar dikawal. Taksub yang berjaya menggunakan agama dapat menguasai mangsanya dengan kuat. Orang berkenaan tidak dapat mengawal perasaannya dalam banyak perkara yang dianggapnya sensitif bersabit dengan agama, padahal kehendak agama berbeza daripada fahamannya. Paling merbahaya ialah tenaga taksub dapat menggunakan isu yang paling mulia di sisi agama iaitu jihad. Isu jihad membuat orang sanggup membunuh dan dibunuh. Orang yang dikuasai oleh taksub yang menggunakan agama akan membunuh dan dibunuh dengan keyakinan dia berjihad, padahal jihad yang dikehendaki oleh agama tidak seperti yang diperjuangkannya. Jihad agama yang tulen dengan jihad yang digerakkan oleh tenaga taksub kedirian sangat berbeza.

Saidina Ali r.a telah menunjukkan cara berjihad yang tulen. Dalam satu peperangan Beliau r.a telah dapat menguasai musuhnya. Musuh itu sudah jatuh ke tanah dan tidak berupaya lagi mempertahankan diri. Ali r.a sudah pun mengangkat pedangnya untuk memancung musuh Allah itu. Pada ketika itu juga musuh Allah itu memaki-maki Ali r.a. Tiba-tiba Ali r.a menjatuhkan pedangnya dan melepaskan musuhnya itu. Bila ditanya mengapa beliau berbuat demikian Ali r.a menceritakan bahawa tatkala dia mengangkat pedang untuk membunuh musuh itu dia mahu membunuhnya kerana Allah. Bila musuh itu memakinya dia mahu membunuh musuh itu kerana dirinya bukan kerana Allah. Sebab itulah beliau a.s membebaskannya kerana  tidak mahu mencabut nyawa manusia melainkan kerana Allah. Inilah yang dinamakan jihad yang tulen. Selain itu bukan jihad tetapi semangat dan tenaga taksub yang merasuk seseorang dengan berselindung di sebalik agama.

Ahli masyarakat haruslah dapat membezakan di antara semangat perkauman yang sihat dengan semangat perkauman yang tidak sihat. Kedua-duanya memang menyintai kaum atau bangsa masing-masing dan bersedia mempertahankan hak kaum atau bangsanya itu. Perbezaan antara keduanya ialah semangat yang sihat boleh melihat kebenaran dan kesalahan yang berlaku dalam kalangan mereka dan boleh juga melihat kebenaran dan kesalahan yang berlaku dalam kumpulan lain. Mereka boleh berbincang dan menerima pendapat yang baik daripada kaum lain. Mereka mempertahankan hak mereka tanpa menceroboh hak kaum lain.

Semangat yang tidak sihat pula tidak melihat tetapi terus membuat hukuman bahawa kaum mereka sentiasa benar dan tidak mungkin bersalah. Hanya pendapat kaum mereka sahaja yang didengar. Kaum lain sentiasa tidak benar dan bersalah, dan pendapat mereka tidak boleh dipakai. Golongan yang sihat lebih cenderung untuk bermusyawarah sementara golongan yang tidak sihat lebih menekankan soal ‘jihad’. Konsep jihad ada pada semua agama. Oleh yang demikian semua pemuka atau pemimpin agama berkewajipan mengawal tenaga taksub yang cuba menggunakan senjata yang merbahayakan ini.

Jika kita soroti penyakit perkauman yang dihadapi oleh seseorang individu kita akan dapati ia berpangkal kepada tenaga-tenaga penyakit yang menguasai dirinya sendiri. Tenaga-tenaga ganas, dendam dan yang seumpamanya terpendam dalam dirinya tidak dapat keluar membaham orang yang diingininya. Perkauman atau perkumpulan menjadi jalan keluar bagi tenaga tersebut melepaskan geramnya. Orang yang semacam inilah mengamuk di atas padang bola dengan alasan dialah peminat setia pasukan negeri atau kelabnya. Dia tidak sedar yang dirinya sudah menjadi tunggangan tenaga perosak yang tidak menemui jalan keluar. Orang lain juga menjadi peminat dan penyokong setia tetapi dapat mengakui kemasukan bola ke dalam jaring pasukannya sebagai gol sementara dia menganggapnya sebagai bukan gol malah ia adalah penipuan.

Ahli taksub bukan sahaja bergerak di atas padang bola. Ia boleh bergerak di mana-mana sahaja termasuklah Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Negeri. Ada ahli dewan yang menutup telinga, mata dan mulutnya ketika perbahasan kemudian secara spontan mengangkat tangannya apabila ahli kumpulannya membuat usul. Apabila ahli kumpulan lain membuat perbahasan ahli yang menutup telinga, mata dan mulut tadi akan membuka semuanya untuk menggangu perbahasan yang sedang berjalan. Semangat perkauman yang ditunjukkan di dewan-dewan boleh merebak ke kampung-kampung untuk membakar segala usaha yang dibuat untuk membendung rusuhan kaum. Rakyat seharusnya dididik untuk berfikir dan memandang secara sejagat selaras dengan ajaran agama, bukan terkongkong dengan kedaerahan dan perkauman yang sempat yang sama sekali tidak sesuai dengan kehendak agama.
 


 
12: SOROTAN KES-KES YANG TELAH DIBINCANGKAN

Kita biasa berhadapan dengan cermin. Cermin membantu kita melihat diri kita, memudahkan kita menyikat rambut, mengenakan alat solek juga membetulkan pakaian. Ia juga menolong kita melihat uban di kepala dan melihat gigi yang berlubang. Tanpa cermin kita tidak dapat melihat diri kita. Kita akan mengalami kesukaran untuk memperkemaskan diri dan membetulkan bahagian yang tidak elok. Kes-kes yang telah dibincangkan menjadi cermin untuk kita melihat ke dalam diri sendiri supaya kita dapat melihat kecacatan yang ada di dalam serta mengenakan ubat atau penawar di mana perlu. Mencermin diri yang di dalam lebih penting daripada mencermin diri yang di luar. Diri yang di dalam menentukan arah kehidupan sementara diri yang di luar hanya mengikut. Seorang wanita boleh bersolek berjam-jam lamanya di hadapan cermin kerana dia mahu berjumpa enggan pembesar negeri. Dia sudah cukup berpuas hati melihat dirinya sudah cukup kemas dan sempurna. Malangnya apabila dia berhadapan dengan pembesar berkenaan dia masih berasa serba salah, serba tidak kena padahal dia tahu bahawa semuanya sudah tidak salah dan tidak ada yang tidak kena. Inilah yang sering terjadi jika seseorang itu hanya membetulkan diri yang di luar sahaja tanpa membetulkan diri yang di dalam.

Kes-kes yang telah dibincangkan memberi kita garis panduan untuk kita mengenal penyakit-penyakit yang dihidapi oleh diri kita yang di dalam, mengesan puncanya dan merawatinya. Kita sedar bahawa penyakit yang di dalam itu sangat berbahaya dan kita juga tahu bahawa penyakit tersebut menawan mangsanya tanpa disedari oleh si mangsa itu sendiri.

Setelah kita dapat memahami keadaan penyakit yang di dalam kita dapat rasakan yang diri kita hanya alat kepada tenaga lain yang menjajah kita. Biasanya kita menganggapkan kita yang memperalatkan tenaga tersebut. Kita telah terkeliru kerana kita tidak dapat membezakan di antara diri kita yang asli dengan tenaga yang mendatang. Kita juga tidak dapat mengasingkan tenaga yang mendatang itu kepada tenaga kebaikan dan tenaga perosak. Kita telah menerima semua yang datang dan mengakuinya sebagai hakmilik kita sendiri.

Bila kita lihat kepada diri kita yang zahir atau jasmani, kita dapati jasmani kita memperolehi tenaga melalui makanan dan minuman yang masuk ke dalamnya. Apa yang dimakan dan diminum itulah menentukan tenaga yang akan terbentuk di dalam tubuh kita. Kita memakan makanan seperti daging lembu, ikan, telur, sayur-sayuran dan buah-buahan. Makanan yang kita makan itu apabila masuk ke dalam perut akan diproses untuk dijadikan tenaga, khasiat, vitamin dan sebagainya. Makanan menjadi alat dan kesan daripada makanan tersebut yang mempengaruhi tubuh kita. Makanan yang berkhasiat menyihatkan badan dan makanan yang tidak baik pula boleh menyebabkan badan berpenyakit. Apa juga penyakit yang mengenai tubuh badan adalah melalui sesuatu yang masuk ke dalam tubuh badan itu.

Keadaan yang sama juga berlaku kepada diri yang di dalam. Peristiwa dan pengalaman menjadi makanan yang mempengaruhi diri dalaman. Sifat atau tenaga yang lahir dari pengalaman menjadi kekuatan atau kelemahan diri. Tenaga atau kekuatan dalaman hanya terbentuk mengikut pengalaman yang dialami. Termasuk di dalamnya adalah pendidikan dan pembelajaran.

Bila kita menyusuri perjalanan tenaga-tenaga yang kita miliki maka kita dapati kebanyakannya berakar umbi kepada rumah tangga. Latar belakang keluarga memainkan peranan penting di dalam proses pembentukan peribadi kanak-kanak. Sifat dan didikan ibu bapa menjadi bahan penting yang menghasilkan tenaga dalam diri anak-anak. Rumah tangga merupakan kilang yang besar memasukkan tenaga ke dalam diri seseorang individu. Rumah tangga juga menjadi medan pertempuran apabila dua individu yang terbentuk daripada dua buah rumah tangga yang berbeza hidup sebagai suami isteri dalam sebuah rumah tangga. Kebanyakan pasangan memasuki alam rumah tangga yang dikongsikan bersama dengan membawa tenaga-tenaga yang bersedia untuk bertempur. Pertempuran itu berlaku tanpa disedari oleh orang-orang yang terlibat tetapi kesannya dapat dilihat dan dirasai. Apabila kesannya kuat sesebuah rumah tangga menjadi hangat. Tidak bersefahaman dijadikan alasan. Punca sebenar terus tersembunyi, sehingga banyak pasangan mengakhiri perkongsian mereka tanpa sebab terjadi demikian.

Penyakit yang dihidapi itu dibawa pula ke dalam rumah tangga yang baharu. Begitulah halnya terus menerus. Kanak-kanak yang telah kemasukan tenaga perosak di dalam rumah tangga ibu bapanya akan membawa tenaga tersebut ke dalam rumah tangganya sendiri kelak. Kemudian dia membiarkan tenaga itu merosakkan rumah tangganya dan memasukkan pula tenaga tersebut ke dalam diri anak-anaknya yang diturunkan pula kepada cucu-cucunya. Tenaga perosak itu menjadi pusaka hingga timbul ungkapan bapa borek anak rintek. Perkara semacam ini amat ketara dalam masyarakat sehingga timbul pengenalan ‘keturunannya memang suka berbini ramai’ atau ‘keturunannya memang suka memukul bini’. Jadi, tenaga yang menggerakkan seseorang untuk berbini ramai atau memukul bini diperturunkan kepada generasi lain, dan tidak diubati.

Kita juga melihat keanihan penyakit dalaman bertindak. Ia tidak semestinya melepaskan geram kepada orang yang bertanggungjawab mengwujudkan penyakit tersebut. Lebih kerap ia bertindak ke atas orang lain yang tidak bersalah dengannya. Abu Zalim tidak melepaskan geram kepada bapa atau kakaknya, tetapi anak si kakak itu yang menjadi mangsa. Siah tidak melepaskan geram kepada bapanya sebaliknya suaminya yang menjadi mangsa. Siti Muslihat tidak melepaskan kepada Mat Salleh tetapi bertindak terhadap Mat Saad. Oleh sebab orang yang menjadi mangsa itu tidak bersalah maka muncullah dalam dirinya tenaga yang memberontak terhadap tekanan yang dihadapinya. Akibatnya peperangan berjalan terus, pusaka mempusakai dari satu keturunan kepada keturunan yang seterusnya.

Kita ingin menarik perhatian orang ramai kepada perkara yang biasa berlaku kepada diri kita. Kaum wanita selalunya lebih mudah dikuasai oleh tenaga perosak. Kaum lelaki pula mudah tunduk kepada tenaga perosak yang berjalan melalui kaum wanita. Kita misalkan satu pasangan suami isteri mempunyai anak lelaki sepuluh orang. Pasangan ini bekerja menoreh getah dan menanam padi. Mereka sanggup mengikat perut demi menyekolahkan anak-anak mereka. Mereka sanggup berhutang, dimarahi dan dihina atau dicaci asalkan pelajaran anak-anak mereka tidak terjejas. Kesudahannya semua anak-anak mereka berjaya dan menjawat jawatan tinggi. Mereka semua sudah berkahwin dengan perempuan yang cantik-cantik dari keturunan orang atasan. Sepuluh orang anak lelaki ibu bapa tadi selalu muncul dalam tv dan surat khabar dan setiap kalinya mereka akan muncul dengan isteri masing-masing. Isteri-isteri yang dibawa menghadiri semua majlis, tidak sekalipun ibu bapa mereka dimunculkan. Tiada siapa yang tahu pengorbanan ibu bapa tersebut dalam menjadikan anak-anak mereka orang yang berjawatan tinggi. Jika soal kejayaan diceritakan maka sokongan galakan isterilah yang diperbesarkan oleh sepuluh orang anak tersebut. Mereka semua tinggal di dalam banglo sementara ibu bapa mereka masih tinggal di dangau penoreh getah. Di dalam banglo milik sepuluh orang anak itu penuh dengan adik beradik, bapa saudara, emak saudara, sepupu sepapat, dua pupu dua papat dan bermacam-macam lagi yang datang dari pihak sebelah isteri.

Keringat dan pengorbanan ibu bapa yang menjadikan anak-anak mewah, tetapi isteri-isteri yang menikmati kemewahan tersebut tanpa menghiraukan si ibu bapa mereka. Malah kehadiran ibu bapa, orang kampung yang tidak berpelajaran, tidak disenangi oleh menantu-menantu takut mereka menjadi pengacau kepada keharmonian rumah tangga anak-anak. Mereka lupa bahawa ibu bapa yang tidak berpelajaran itulah yang telah memberikan pelajaran kepada anak-anak mereka.  Satu ibu bapa dapat memelihara sepuluh orang anak sepuluh orang anak tidak dapat memelihara satu ibu bapa. Ibu bapa tidak pernah mengeluh walaupun anak-anak mereka tinggalkan mereka di dangau buruk tetapi isteri si anak akan melenting jika suaminya lupa membelikan hadiah hari jadi. Si ibu bapa menutup mata di dangau buruk dan ada anak yang tidak dapat pulang memberikan penghormatan terakhir kerana isterinya selsema.

Di dalam menentukan samada kita bertindak secara normal atau mengikut tenaga perosak, akal hendaklah dijadikan alat pertimbangan. Tindakan yang dipersetujui oleh akal itulah tindakan yang normal. Sekiranya kita bertindak bertentangan dengan prinsip akal maka tindakan tersebut adalah hasil daripada rangsangan tenaga perosak. Kita haruslah memeriksa diri kita apakah jenis tenaga perosak yang begitu kuat menarik kita lari dari perbatasan akal. Jika kita teliti dengan mendalam akan kita temui kenyataan iaitu tenaga-tenaga penyakit yang merosakkan hidup kita adalah hal yang biasa kita dengar dan kita tahu istilahnya. Di antaranya ialah dendam, tamak, panjang angan-angan, dengki, sakit hati, kecewa, takut, marah, ujub, ria’ dan lain-lain yang berpenghulukan hawa nafsu. Kita sangat takut untuk mengakui yang diri kita dijajah oleh hawa nafsu.

Kita hanya melihat hawa nafsu mempermainkan hidup orang lain, tidak hidup kita sendiri. Kita suka menggunakan berbagai-bagai istilah dan alasan untuk mengelakkan diri kita dari dicap menurut hawa nafsu. Bila orang lain melakukan kesalahan kita katakan mereka berbuat kezaliman dan menabur fitnah. Bila kita sendiri melakukan kesalahan kita katakan yang kita mempertahankan keadilan dan kebenaran serta menceritakan apa yang patut diceritakan. Kita sentiasa benar dan orang lain sentiasa salah. Jika dalam kamus kita tidak ada istilah-istilah seperti: menurut hawa nafsu, salah, buruk dan jahat maka selama-lamanya kita tidak akan dapat memperbaiki diri kita. Setiap orang yang cuba membetulkan kita akan kita anggap sebagai musuh sementara orang yang memperkuatkan penyakit kita akan dianggap sebagai sahabat. Kita akan menghalau orang yang berani menyatakan kesalahan kita dan kita akan melambai orang yang bersedia memberikan bekalan kepada penyakit kita. Kita akan melihat rezeki yang diperolehi oleh orang lain sebagai merampas hak kita sementara rezeki yang kita perolehi adalah kerana kita memang layak menerimanya. Kita akan bermegah dengan apa yang kita capai dan sakit hati dengan apa yang orang lain capai. Kita muliakan kejayaan kita sementara kejayaan orang lain menjadi cabaran yang perlu diruntuhkan. Kita merasakan kemenangan terletak pada orang mendengar perkataan kita sementara kekalahan terletak pada kita mendengar perkataan orang lain. Kita merasakan bahawa yang benar dan berhak adalah kita  sementara yang bersalah dan tidak berhak adalah orang lain. Begitulah yang terjadi apabila hawa nafsu sudah menguasai.
 


 
13: MENGENALI TENAGA PEROSAK MELALUI KACAMATA AGAMA

Sepanjang perbincangan yang telah kita lalui kita cuba menghindarkan diri dari memasukkan aspek agama dengan mendalam. Kita dapati apabila kita melepaskan aspek agama maka banyak kekaburan dan kekeliruan timbul dan sukar dijelaskan. Apabila kita ‘keluarkan’ agama dari individu yang menjadi bahan kes kita dapati mereka tidak mempunyai sebarang pertahanan untuk mencegah kemasukan tenaga perosak. Tanpa agama seseorang itu akan dengan mudah dijajah dan diperalatkan untuk memenuhi kehendak kuasa yang menjajah mereka. Tanpa agama juga kita mendapati tiada satu cara yang benar-benar berkesan untuk mengubati individu yang telah ditakluki oleh kuasa penyakit dalaman. Orang yang menghidap penyakit dalaman kemanusiaannya ditekan oleh kehaiwanan. Kita cuba mengenali kuasa kehaiwanan yang menekan kemanusiaan dengan merujuk kepada ajaran agama.

Kuasa kehaiwanan bekerja merosakkan kemanusiaan. Oleh itu ia adalah musuh kepada manusia. Ia juga tidak dapat dilihat oleh mata, tidak dapat dipegang dengan tangan dan tidak dapat didengar dengan telinga. Ia adalah sesuatu yang ghaib. Siapakah musuh manusia yang berunsur ghaib ini? Tuhan telah menjawab pertanyaan ini dengan firman-Nya dalam Surah Yaa Sin, ayat 60 yang bermaksud:
“Tidakkah Aku telah berikan peringatan kepada kamu wahai Bani Adam supaya kamu jangan mentaati syaitan kerana ia adalah musuh kamu yang sebenarnya’.

Musuh manusia yang berunsur ghaib itu dinamakan syaitan oleh agama. Syaitan itulah tenaga perosak yang menjadi musuh manusia. Apabila kita melihat tenaga perosak satu persatu maka kita akan berjumpa dengan syaitan dendam, syaitan dengki, syaitan ujub, syaitan ria’, syaitan takabur dan lain-lain lagi nama yang menunjukkan kepada sifat syaitan. Perbezaan nama lahir kerana perbezaan bidang tetapi jika dipandang dari segi merosakkan semuanya adalah sama sifatnya dan memakai satu nama sahaja iaitu syaitan.

Bagaimana syaitan boleh berdampingan dengan manusia dan apa yang terjadi kepada manusia yang didampingi oleh syaitan? Dalam Surah az-Zukhruf, ayat 36 Tuhan menceritakan:
“Dan barangsiapa berpaling dari mengingati ar-Rahman nescaya Kami tentukan baginya syaitan, maka jadilah ia (syaitan itu) teman yang tidak terpisah darinya (manusia). Dan mereka (syaitan) menghalang mereka (manusia) dari jalan (yang lurus) sedang mereka (manusia) menyangka mereka terpimpin”.

Mengingati Allah ar-Rahman adalah benteng yang menghalangi syaitan daripada sampai kepada manusia. Jika manusia meruntuhkan benteng ini nescaya mudahlah ia diserang dan seterusnya ditawan oleh syaitan. Bagaimana syaitan menawan manusia? Surah an-Nas, ayat 4 hingga 6 menceritakan:
“Dari kejahatan bisikan si pengintai peluang (syaitan) yang membisikkan ke dalam dada manusia, daripada jin dan manusia”.

Syaitan berkomunikasi dengan manusia dengan cara bisikan. Adakah manusia boleh mendengar dengan telinganya akan bisikan syaitan itu? Hal ini sukar dimengerti jika kita hanya memandang kepada aspek zahiriah dan lupa kepada aspek batiniah manusia. Kita perlu merenungi dengan lebih mendalam kepada diri kita yang batin. Cuba perhatikan keadaan Siti Muslihat tatkala menghadapi suasana dikecewakan oleh Mat Salleh. Tubuhnya yang zahir masih sihat walafiat tetapi dia merasakan sejenis kesakitan dalam dadanya. Dia tidak menghadapi penyakit jantung tetapi dadanya sebak seakan-akan mahu pecah. Siti Muslihat yang manakah yang sakit ini? Inilah yang dinamakan Siti Muslihat yang batin. Si pengintai peluang terus mengambil kesempatan lalu membisikkan ke dalam hati Siti Muslihat. Siti Muslihat tidak mendengar orang berbisik ke telinganya tetapi dia mendengar hatinya berkata, ‘Mat Salleh ini memang tidak boleh diharap. Aku telah berkorban untuknya tetapi dia sanggup mengecewakan aku. Satu hari nanti aku akan ajar Mat Salleh ini’. Siti Muslihat menyangkakan hatinya yang berkata tetapi yang sebenar berlaku adalah si pengintai peluang itu yang mengadakan bisikan atau rangsangan dalam hati Siti Muslihat dan dia hanya mengulangi bisikan tersebut sebagai perkataan hatinya sendiri. Beginilah bijaknya si pengintai peluang membuat bisikan sehingga orang yang menerima bisikan itu menyangkakan apa yang berdetik itu adalah kata-kata hatinya sendiri.

Apakah dengan hanya menggunakan bisikan syaitan boleh menjajah manusia? Hasil pertama yang diperolehi oleh syaitan melalui bisikannya ialah timbul waswas dalam hati manusia. Waswas yang timbul dalam hati adalah tanda bahawa syaitan sudah menyampaikan bisikannya. Jika kita perhatikan pada diri manusia kita dapati yang membuat keputusan muktamad ialah hati. Juru nasihat bagi hati ialah akal. Akal menjadi tenaga yang sentiasa cuba menembusi pintu hati serta mempengaruhinya untuk membuat keputusan yang sesuai dengan pertimbangan akal. Waswas pula adalah tenaga yang menghalang tenaga akal dari memasuki hati. Jika tenaga waswas kuat ia mampu menyekat tenaga akal dari memasuki hati. Hati yang tidak mempunyai penasihat akan mudah dijajah oleh tenaga waswas. Bila waswas sudah bertapak dalam hati mudahlah syaitan membentangkan rencananya. Dalam peringkat di mana hati sudah waswas dan syaitan sudah boleh mengawal hati, tenaga akal dibenarkan masuk ke dalam hati tetapi sebagai alat untuk melaksanakan rencana syaitan. Akal tidak lagi berfungsi sebagai penasihat sebaliknya ia menjadi juru fikir untuk melakukan kejahatan. Sebab itulah kita dapati orang melakukan kejahatan dengan perancangan yang rapi kerana akalnya telah tunduk kepada pemerintah yang jahat. Akal seperti ini dipanggil akal yang bingung. Surah al-An’aam, ayat 71 menceritakan:
“… seperti orang yang disesatkan oleh syaitan-syaitan di bumi, dalam keadaan bingung, sedang ia pula mempunyai sahabat-sahabat yang mengajaknya ke jalan yang lurus”.

Akal yang sudah bingung menolak persahabatan orang yang mengajak kepada kebaikan sebaliknya memperkuatkan persahabatan dengan syaitan-syaitan yang mengajak kepada kemungkaran, kefasikan dan kejahatan. Bagaimana sifat-sifat hati yang bersahabat dengan syaitan? Di antara sifat-sifatnya ialah:
1: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu…” (Surah Al-Maaidah, ayat 91).

Hati yang sudah menghidapi penyakit dalaman yang dibawa oleh syaitan akan terdorong untuk bermusuhan dan berbencian dengan suami atau isteri, dengan kawan-kawan, dengan jiran dan dengan sesiapa sahaja.

2: “Syaitan itu menakut-nakutkan kamu dengan kemiskinan dan kepapaan dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji”. (Surah al-Baqarah, ayat 268).

Hati yang dijajah oleh syaitan sangat takutkan kemiskinan dan kepapaan. Segala tenaga dan kepandaian ditujukan kepada mengumpul harta. Kalau boleh dia mahu kumpulkan harta yang cukup untuk menyara anak cucunya sampai tujuh keturunan kerana dia takut anak cucunya juga nanti akan miskin dan papa. Ketakutan kepada kemiskinan dan kepapaan menerbitkan keberanian melakukan kejelikan asal sahaja dapat memperolehi harta. Timbullah penipuan, rasuah, judi dan sebagainya.

3: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh kamu yang terang nyata”. (Surah al-Baqarah, ayat 168).

Agama menyeru manusia mengambil yang baik-baik sahaja sementara syaitan pula menarik manusia supaya mengambil yang tidak baik.

4: “Ia (syaitan) hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) kamu berkata (dusta) terhadap apa yang kamu tidak ketahui”. (Surah al-Baqarah, ayat 169).

Syaitan bukan sahaja mengajak manusia berbuat kejahatan dan kekejian, malah syaitan juga mengajar manusia supaya berdusta. 

5: “Demi Allah! Sesungguhnya Kami juga telah mengutuskan (Rasul-rasul) kepada umat-umat sebelum kamu, lalu syaitan memperelokkan pada pandangan mereka yang ingkar akan amal-amal mereka yang jahat itu…”. (Surah an-Nahl, ayat 63).

Syaitan mengelabui mata hati manusia sehingga mereka menyangkakan perkara buruk, keji dan jahat itu mendapat keredaan Allah s.w.t. Wujudlah upacara pemujaan sesama manusia dan sesama makhluk dengan kepercayaan itulah jalan yang benar. Mereka menolak kebaikan yang dibawa oleh Rasul-rasul kerana syaitan telah menghias perbuatan yang menyalahi perjalanan Rasul-rasul sebagai perbuatan yang baik dan benar.

6: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara syaitan sedangkan syaitan itu adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Israa’, ayat 27).

Boros adalah sifat syaitan yang turut sama dimiliki oleh orang yang bersahabat dengan syaitan. Boros membawa manusia lebih hanyut di dalam tiupan syaitan hingga tidak tahu bersyukur  kepada Tuhan yang mengurniakan nikmat kepada mereka.

7: “Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang yang menentang kebenaran) sesungguhnya syaitan-syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka (yang mukmin dan yang menentang). Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia”. (Surah al-Israa’, ayat 53).

Orang mukmin disarankan supaya berhati-hati dengan pertuturannya kerana ia mudah disalah-mengertikan akibat gangguan syaitan. Sangat merbahaya jika perkataan yang diputar-belitkan oleh syaitan itu melibatkan soal akidah. Perkataan yang diucapkan dengan tujuan yang baik boleh berubah menjadi ilmu sesat atau fitnah sesama manusia Hikmah kebijaksanaan sangat perlu di dalam menyampaikan kebenaran. 

8: “Lalu syaitan membisikkan kepadanya, ‘Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepada kamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?’” (Surah Ta Ha, ayat 120).

Racun yang paling bisa dibalut dengan pembungkus yang sangat elok ini ditunjukkan oleh syaitan kepada Bani Adam. Bapa kepada sekalian manusia telah terpedaya kerana inginkan kekekalan di dalam syurga yang tidak akan binasa selama-lamanya. Adam a.s sudah tahu yang kehidupan di dalam dunia penuh dengan kesukaran dan bersifat sementara. Oleh itu jika berpeluang hidup kekal di dalam syurga tentu sahaja dia inginkannya. Bila dia mencuba pokok kekekalan yang syaitan kata itu maka berlakulah yang bertentangan dengan apa yang syaitan kata. Adam berpisah dengan kesenangan dan keabadian syurga dan dihantar ke tempat yang memayahkan. Syaitan yang ikut turun ke dunia membawa bersama ‘pokok kekekalan’ yang telah berjaya memperdayakan bapa sekalian manusia itu. Manusia yang merasai pokok ini akan merasakan yang umurnya sangat panjang atau dia tidak akan mati lagi. Yang mati setiap hari adalah orang lain bukan dia. Bila manusia sudah merasakan hidup kekal di dunia maka cintalah dia kepada dunia dan lupalah dia kepada akhirat. Bertambah mudahlah manusia diheret ke jalan menderhakai Tuhan.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh manusia melakukan perbuatan yang keji dan mungkir. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu yang menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya, akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang Dia kehendaki dan ingatlah Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. (Surah an-Nuur, ayat 21).

Manusia sangat lemah dalam menghadapi tipu daya syaitan. Tetapi Allah mengetahui bahawa sebahagian daripada mereka yang terpedaya itu bukan sahaja mahu derhaka kepada-Nya. Allah Yang Maha Pengampun, Maha Pengasih, menyelamatkan manusia yang sedemikian dengan dibukakan pintu taubat sebagai pembersihan. Adam a.s dan sebahagian anak cucunya menjadi bersih kerana taubat sebagai kurniaan dan rahmat dari Allah s.w.t. Tetapi ada juga yang enggan bertaubat malah terus juga diheret oleh syaitan. Siapakah mereka itu?

“Mahukah Aku beritahu kepada kamu atas siapakah turun syaitan-syaitan? Mereka turun atas tiap-tiap pendusta yang berdosa”. (Surah  asy-Syura, ayat 21 & 22).

Pendusta yang berdosa itulah sahabat setia syaitan. Dalam golongan yang paling atas antara mereka ialah Namrud dan Firaun yang berdusta dan berdosa kerana mengaku diri mereka sebagai tuhan. Yang hampir dengan mereka ialah Haman pembantu Firaun, Qarun yang mengaku menjadi tuhan harta dan ramai lagi. Sesudah golongan ini ialah puak ahli nujum, tukang tilik dan ahli sihir yang mengambil berita daripada syaitan-syaitan. Sesudah itu golongan munafik yang berpura-pura mematuhi agama. Seterusnya yang mentafsir ayat-ayat Allah dan ucapan Rasul-rasul menurut hawa nafsu mereka. Seterusnya sekalian pendusta dalam segala bidang. Puak merekalah yang mengeluarkan fatwa seperti ‘dosa sedikit tidak apa’, ‘pura-pura bermaksiat kerana tujuan lakunan tidak mengapa’, ‘sedikit dosa kerana tujuan mengutip derma tidak mengapa’, ‘melentur sedikit peraturan Tuhan tidak mengapa kerana kita dalam darurat’ dan banyak lagi fatwa-fatwa yang direka untuk kesenangan hawa nafsu mereka.

Al-Quran telah menceritakan dengan jelas tentang tenaga dan sifat syaitan yang menjadi tenaga penggerak merosakkan kemanusiaan yang bermula dengan manusia itu sendiri meruntuhkan benteng ingat kepada ar-Rahman dan masuk ke dalam alam waswas. Di dalam alam waswas manusia menerima sifat-sifat syaitan sebagainya sifatnya sendiri lalu mempertahankannya sebagaimana dia mempertahankan maruah dirinya sendiri. Setelah diketahui sifat syaitan yang menjadi tenaga perosak itu timbul pula pertanyaan siapakah syaitan itu?

“Dan (ingatlah) peristiwa tatkala Kami berfirman kepada malaikat-malaikat, ‘Sujudlah kepada Adam’, lalu mereka sujud kecuali iblis. Adalah ia berasal dari golongan jin, lalu derhaka ia kepada perintah Tuhannya. Oleh itu apakah patut kamu jadikan iblis dan keturunannya sahabat-sahabat akrab kamu? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu, amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim, pengganti yang mereka pilih’”. (Surah al-Kahfi, ayat 50).

Ada satu jenis makhluk yang berbangsa jin. Jin yang pertama telah derhaka kepada Allah s.w.t dan ia dinamakan iblis. Iblis menjadi pemimpin kepada jin-jin yang derhaka kepada Tuhan. Jin yang derhaka itu dinamakan syaitan. Jin juga hidup seperti manusia dan boleh melakukan berbagai-bagai pekerjaan dan boleh juga membantu pekerjaan manusia.
“Maka Kami kabulkan permintaannya (Sulaiman) lalu Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kehendaknya, ke arah mana sahaja yang hendak ditujunya. Dan Kami mudahkan baginya memerintah golongan (jin) yang pandai membina bangunan dan yang menjadi penyelam”. (Surah Sad, ayat 36 – 38).

Ayat di atas menerangkan bahawa Nabi Sulaiman a.s diberi kekuatan dan keupayaan mengawal angin dan jin. Jin telah diperintahkan untuk membina bangunan dan mengambil khazanah dari dasar laut. Mengetahui keadaan Nabi Sulaiman a.s ini maka adalah manusia yang mempelajari ilmu mengawal angin dan jin. Mungkin ilmu mereka tidak sampai ke tahap membawanya terbang di udara atau berkebolehan mengarahkan jin membuat bangunan, meratakan tanah dan mencabut pokok-pokok tetapi orang berkenaan mungkin boleh meminta pertolongan jin peliharaannya untuk melakukan pekerjaan yang ringan seperti mendatang waswas ke dalam hati orang lain.

Misalnya seorang perempuan yang memakai ilmu jin bagi tujuan mencantikkan wajahnya dan membuat orang ramai mendengar perkataannya. Jin peliharaan akan membisikkan ke telinga orang lain dengan mengatakan tuannya cantik dan suaranya merdu. Bila berkali-kali jin itu membisikkan demikian maka si pendengarnya menjadi waswas dan menerima rangsangan jin itu lalu mengakui bahawa perempuan berkenaan adalah cantik dan suaranya adalah merdu dan ucapannya adalah benar. Biasa terjadi orang ramai menjadi terpesona apabila berhadapan dengan perempuan pemelihara jin ini. Jin ini boleh juga digunakan untuk merosakkan rumah tangga orang lain. Si jin akan membisikkan ke dalam hati orang yang lebih lemah semangatnya di antara satu-satu pasangan itu. Si jin akan membisikkan rasa permusuhan dan kebencian, mencurigai antara satu sama lain. Kesudahannya berlakulah perceraian atau pergaduhan. Ada juga dukun yang menggunakan jin untuk membawa sesuatu barang seperti batu permata atau peralatan yang dikatakan bahan sihir yang ditanam di sesuatu tempat, sesuatu barang itu tiba-tiba sahaja menjelma di dalam bekas yang kosong. Keanihan ini kadang-kadang membuat sebahagian orang menganggap perbuatan jin itu sebagai sesuatu kekeramatan. Orang yang bersahabat dengan jin dikatakan seorang wali Allah.

Walaupun orang yang memelihara atau bersahabat dengan jin mendapat faedah daripadanya namun, pada hakikatnya dia yang dipergunakan oleh jin.
“…bahkan mereka adalah mempertahankan jin dan syaitan..” (Surah Sabaa’, ayat 41).

Berbagai-bagai cara manusia memperhambakan diri kepada jin. Pengamal ilmu kebatinan yang sesat akan menjadikan jin sebagai sumber kekuatannya. Ahli keagamaan yang sesat menganggap jin sebagai sumber kuasa ketuhanan. Berbagai-bagai nama digunakan bagi disesuaikan dengan kuasa yang mereka imani, tetapi walau apa nama dipakai hakikatnya adalah jin juga. Dalam amalan yang demikian ada pantang larang dan amalan yang mesti dilakukan. Di sinilah manusia benar-benar diperbodohkan dan diperhambakan oleh jin.

Setelah menerangkan tentang jin dan syaitan yang merosakkan manusia al-Quran menggesa manusia supaya berperang dengan golongan tersebut.
“Orang-orang yang beriman berperang pada jalan Allah, dan orang-orang kafir berperang pada jalan Taghut (syaitan). Oleh sebab itu perangilah pengikut-pengikut syaitan itu kerana tipu daya syaitan adalah lemah”. (Surah an-Nisaa’, ayat 76).

“Dan (ingatlah) ketika memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu untuk dipandang elok dan diteruskan serta menghasut), ‘Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu’. Apabila kedua-dua pihak (angkatan tentera Islam dan tentera kafir musyrik) masing-masing berhadapan syaitan itu berundur (sambil berkata), ‘Aku berlepas diri dari kamu kerana aku melihat apa yang kamu tidak lihat. Sesunguhnya aku takut kepada Allah dan Allah amat berat azab seksanya’”. (Surah al-Anfaal, ayat 48).

Orang yang kemasukan tenaga syaitan akan merasakan dirinya yang kuat dan benar, perbuatan jahatnya tidak akan diketahui oleh orang lain dan dia akan menang melawan sesiapa sahaja. Semangat orang itu diapi-apikan oleh syaitan. Apabila berhadapan untuk berlawan dengan orang yang beriman terjadilah apa yang diceritakan oleh ayat di atas. Syaitan dapat melihat bahawa orang yang beriman tidak datang sendirian. Tentera Allah ada bersama-samanya walaupun mata tidak dapat melihatnya. Syaitan tahu dia tidak akan dapat melawan tentera Allah. Jika dia tunggu dia akan mendapat seksaan, lebih baik dia lari. Tinggallah sahabat syaitan itu bersendirian menghadapi orang yang beriman. Bila syaitan sudah cabut lari pudarlah semangatnya. Ketika itu datanglah rasa kecut dalam hatinya melihat keperkasaan orang yang beriman. Keberanian dan kepandaiannya tidak ada lagi, lalu dia juga ikut lari. Inilah fenomena yang terjadi ketika tentera Islam berhadapan dengan tentera kafir. Walaupun tentera Islam sedikit tetapi mereka dapat mengalahkan tentera kafir yang ramai. Orang Islam haruslah sedar tentang kekuatan yang Allah s.w.t pertaruhkan kepada mereka. Jika kita sanggup berjuang mengibarkan bendera tauhid tentu sekali Allah s.w.t akan menghantar pertolongan-Nya yang tidak akan dapat dikalahkan oleh peluru berpandu dan bom nuclear musuh. Bila syaitan sudah lari dari medan perang musuh akan lemah semangat dan boleh dikalahkan walaupun mereka mempunyai senjata yang canggih. Pokoknya berjuanglah kerana Allah, bukan kerana parti, bukan kerana bangsa, bukan kerana negara. Hanya kerana Allah semata-mata. Jika dalam perjuangan kerana Allah itu ada parti, bangsa dan negara maka bawalah ia bersama-sama sebagai amanah Allah bukan sebagai mahkota yang dijunjung. Bila kaum Muslimin berjuang kerana Allah nescaya akan sampailah janji Allah membantu kaum yang beriman.