6: PENYAKIT TAKUT
7: PENYAKIT RASUAH

6: PENYAKIT TAKUT

Kes kajian

Siah ialah seorang wanita yang telah berpuluh-puluh tahun dikuasai oleh penyakit takut. Dia takutkan kegelapan malam. Dia takut mendengar bunyi enjin kapal terbang. Dia takutkan guruh dan kilat. Dia takut mendengar bunyi berdentum pintu tertutup dengan kuat. Dia takutkan bunyi yang keluar dari sumber yang tidak diketahuinya. Dia takutkan bunyi tapak kakinya sendiri. Dia takutkan segala-galanya.

Darjah ketakutan yang ada dalam diri Siah sangat tinggi. Ketika dia sedang asyik menonton televisyen bersama-sama suami dan anak-anaknya, tiba-tiba berdentum bunyi pintu dapur tertutup kerana ditolak oleh angin. Siah akan melompat dan cuba melarikan diri. Pada masa yang lain ketika sedang menjemur kain tiba-tiba berderum bunyi kapal terbang lalu di angkasa. Siah berlari masuk ke dalam rumahnya, lari meninggalkan kain yang sedang dijemurnya. Ketika dia sedang berjalan dengan kawan-kawannya satu platoon askar berkawat di hadapan mereka. Siah cepat-cepat bersembunyi di belakang kawannya. Ketika dia sedang bekerja di pejabat seorang lelaki berpakaian seragam polis masuk ke pejabat itu. Siah bertempiaran lari menjatuhkan diri daripada lelaki tersebut. Ketika dia sedang menaiki kereta dengan suaminya dan ketika mereka melalui berhampiran dengan stadium, tiba-tiba kedengaran bunyi sorakan yang riuh rendah dari dalam stadium. Siah cepat-cepat memaksa suaminya meninggalkan tempat itu. Apabila melalui lorong yang gelap atau berhampiran dengan kubur, Siah akan menutup cermin pintu kereta. Siah takut menaiki kapal terbang kerana dia khuatir kapal terbang yang dia tumpangi itu akan terhempas. Banyak lagi perkara yang membangkitkan ketakutan Siah.

Kebanyakan orang mentertawakan Siah yang takutkan sesuatu yang tidak perlu ditakuti. Ketakutan Siah tidak berasas, kata mereka. Tetapi bagi Siah ketakutan itu adalah sesuatu yang benar, nyata, bukan main-main, bukan rekaan dan bukan khayalan. Ketakutan Siah sama benarnya dengan ketakutan orang yang terserempak dengan singa. Sebagaimana orang lari dari singa begitu Siah lari dari apa yang ditakutinya. Dia lari bersungguh-sungguh, bukan berpura-pura. Dia benar-benar takutkan apa yang menakutkannya itu. Apabila berhadapan dengan apa yang ditakutkannya dia akan berasa sakit di dalam dadanya. Dia berasa sukar untuk bernafas. Tubuhnya menggigil seperti orang kesejukan. Dia berasa sakit pada bahagian belakang, sendi-sendi dan punggungnya. Kesakitannya seperti dicucuk-cucuk dengan jarum. Siah benar-benar merasai kesakitan yang demikian walaupun orang mengatakan ketakutannya hanyalah khayalan dan tidak berasas. Kadang-kadang dia muntah-muntah disebabkan ingin menahan ketakutannya. Begitulah benarnya ketakutan Siah.

Di antara semua perkara yang menakutkannya yang paling ditakuti oleh Siah ialah berhadapan dengan suaminya yang sedang marah. Jika suaminya marah Siah akan mengalami kesakitan yang serta merta. Dia menjadi sesak nafas, menggigil dan muntah-muntah. Kadang-kadang kemerahan suaminya boleh menyebabkan Siah merayau-rayau seperti orang hilang akal. Dia terpaksa dibawa pulang oleh orang yang mengenalinya. Satu lagi keadaan yang timbul akibat dimarahi suaminya ialah Siah putus atau hilang kesedaran alam nyata dan masuk ke dalam alam fantasi. Ketika di dalam alam fantasi itu sekiranya dia khayalkan meminum racun maka dia akan merasai sama seperti orang yang benar-benar meminum racun. Dia merasakan dadanya kepanasan, lehernya tercekik, mulutnya berbuih, akhirnya dia pengsan dan terpaksa dibawa ke hospital.

Walaupun Siah sangat takut dimarahi oleh suaminya tetapi anihnya Siah tidak akan berasa senang jika dia tidak dimarahi oleh suaminya. Dia akan sengaja mencari pasal, mencabar kesabaran suaminya. Jika suaminya cuba mengelakkan diri daripada pertengkaran Siah akan menjadi lebih bengis dan mengeluarkan kata-kata yang kesat. Bila suaminya tidak dapat bersabar lagi si suami itu akan menjadi berang. Sebaik sahaja suaminya kelihatan marah dengan rupa yang bengis Siah dengan serta merta kembali menjadi normal. Dia akan mengakui kesalahannya dan memohon kemaafan. Jika kemerahan suaminya berlarutan Siah akan lari ke dalam alam fantasinya. Jika suaminya kembali reda Siah akan menjadi lemah lembut, penyayang dan mentaati suaminya.

Bagaimana Siah boleh memiliki watak yang berbeza-beza. Satu ketika dia berperwatakan lemah lembut tetapi dengan tiba-tiba pula dia boleh berubah menjadi kasar. Satu ketika dia seorang isteri yang penyayang tetapi dengan tiba-tiba pula dia boleh menggegarkan rumah tangganya. Siah boleh berubah-ubah watak menjadi beberapa orang. Bagaimana watak-watak itu boleh wujud salam diri satu orang?

Latar belakang Siah hendaklah diselidiki. Ibu Siah bernama Siti Lembut. Siti Lembut berperwatakan sangat lemah-lembut dan mudah mengalah dalam segala perkara dan kepada semua orang.  Siti Lembut tidak pernah memarahi sesiapa pun. Siti Lembut telah melalui kehidupan yang pahit iaitu dia telah pernah berkahwin dan diceraikan beberapa kali. Kehidupan rumah tangganya tidak dapat bertahan lama sehinggalah dia berkahwin dengan seorang jejaka bernama Mat Keras. Sifat Mat Keras sangat berlawanan dengan sifat Siti Lembut. Mat Keras adalah seorang yang sangat keras hati, suka bertengkar dan sanggup bergaduh dengan sesiapa sahaja. Jika ada orang yang berani membantah cakapnya maka orang itu harus berani berkelahi dengan Mat Keras. Mat Keras tidak tahu berlembut. Setiap peraturan yang ditetapkannya ‘wajib’ dipatuhi oleh ahli keluarganya. Jika dia memerintahkan supaya bangun maka semua mesti bangun. Jika dia melarang menonton tv jangan sekali-kali membantah sekalipun ada rancangan yang sangat diminati. Dalam diri Mat Keras ada harimau garang yang tidak boleh diajak berunding apalagi disanggah. Harimau garang itulah yang menjadi raja memerintah sekalian isi rumah tangga Mat Keras.

Siah yang masih knak-kanak, seperti juga kanak-kanak yang lain, asyik dengan bermain-main. Keasyikan bermain boleh menyebabkan Siah lupa akan pesanan dan peraturan bapanya, Mat Keras. Siah boleh lupa tetapi Mat Keras tidak lupa. Biasa terjadi ketika Siah sedang asyik bermain-main istana pasir tiba-tiba datang Mat Keras memijak-mijak istananya. Siah diheret pulang untuk menerima hukuman kerana ‘menderhaka’ kepada peraturan dan perintah Mat Keras. Walaupun biasa dihukum namun, sifat keanakan tetap juga membuat Siah asyik dengan permainan. Pada hari yang lain Siah kembali leka hingga lupa kepada peraturan bapanya. Dia akan terkejut daripada kelekaananya jika dia melihat bapanya. Ketakutan akan timbul dalam jiwanya dan dia akan lari bersembunyi di belakang sesiapa sahaja yang ada berhampiran dengannya sebagai meminta pertolongan menghadapi harimau yang sedang memburunya.

Jika mahu memahami ketakutan yang dihadapi oleh Siah bayangkan kita berada di tengah-tengah hutan rimba, tiba-tiba seekor harimau mengejar kita. Kita akan lari sekuat tenaga. Kita bersembunyi di dalam semak. Kita berasa takut yang amat sangat hingga tidak sedar kita terkencing. Dada kita berdebar-debar, mahu menghembuskan nafas pun tidak berani.. Dada menjadi semakin sebak. Apa sahaja yang ada diluar semak dirasakan seperti harimau. Bunyi ranting patah adalah harimau. Bunyi burung terbang adalah harimau. Pokok bergoyang adalah harimau. Semuanya adalah harimau yang memburu kita. Apa sahaja yang luar biasa akan membuat kita terperanjat dan kita akan lari sekuat-kuat tenaga tanpa menoleh ke belakang, kerana kita sedang dikejar oleh harimau. Bunyi tapak kaki kita sendiri pun menjadi bunyi harimau mengejar kita. Begitulah ketakutan yang kita alami akibat satu kali bertemu dengan harimau.

Siah berjumpa dengan harimau sepanjang hidupnya, bertahun-tahun lamanya. Siah sentiasa diburu oleh harimau dan dia lari daripada harimau tanpa henti-henti. Suasana diburu harimau membentuk tenaga takut yang sangat kuat dalam jiwa Siah. Tenaga takut itu menguasai jiwanya sehinggalah dia memasuki alam perkahwinan. Walaupun dia tidak lagi tinggal dengan bapanya namun, tenaga takut yang lahir dari buruan harimau bapanya tetap juga menemaninya ke alam rumah tangganya. Apa sahaja samada manusia, benda, binatang atau kejadian yang luar biasa akan menggerakkan tenaga takut yang telah sebati dengan dirinya.

Siah bukan takutkan manusia, benda, binatang atau hantu. Semuanya itu adalah suis yang membangkitkan ketakutan yang tersembunyi dalam dirinya. Tenaga takut itulah yang keluar menampakkan dirinya dalam rupa Siah. Siah tidak tahu apa yang dia takutkan dan mengapa dia takut. Dia hanya berasa takut kerana ketakutan itu adalah sifatnya.

Tenaga takut yang muncul daripada Siah sama seperti tenaga ganas yang muncul daripada Abu Zalim. Siah dan Abu Zalim adalah alat yang menterjemahkan tenaga dalaman yang menguasai jiwa mereka. Siah agak bertuah kerana tenaga yang menguasainya tidak mencederakan orang lain dan tidak melakukan jenayah. Abu Zalim kurang bernasib baik kerana penjajahnya melakukan jenayah menyebabkan dia dipenjarakan.

Jika kita perhatikan zaman silam Siah kita dapati dia adalah seorang kanak-kanak yang berjiwa lemah kerana sering diburu oleh harimau garang. Kadang-kadang dia mengalami penderitaan batin yang dia tidak tahan menanggungnya. Pada ketika itu timbul bisikan dalam jiwanya jika dia mati adalah baik baginya. Kematian merupakan penyelesaian kepada semua penderitaan yang dialaminya.

Filem yang menggambarkan keadaan perempuan yang menutup penderitaannya dengan kematian sangat menarik minat Siah. Paling diminatinya babak perempuan meminum racun. Dia menghayati dan mengingati satu persatu suasana perempuan yang meminum racun itu menemui ajalnya. Babak kematian perempuan akibat meminum racun itu diulang-tayang di dalam kepalanya berkali-kali sehingga dia arif benar dengan keadaan tersebut. Bila dia dihimpit tekankan jiwa yang bersangatan dia akan lari ke alam fantasinya dan meminum racun di sana. Siah yang sering melatihkan dirinya lari ke alam fantasi itu benar-benar dikuasai oleh fantasinya. Siah hanya meminum air sejuk tetapi gambaran fantasinya menunjukkan dia meminum racun dan kesedaran fantasinya mengwujudkan rasa racun menyerang dirinya. Dia akan menggelepar kerana dadanya kepanasan. Lehernya tercekik dan dia tidak dapat bernafas. Keadaan ini menggemparkan ibu bapanya. Tetapi setelah kejadian seperti itu berlaku beberapa kali bapanya mula menyedari apa yang Siah lakukan. Mat Keras melihat anaknya hanya bersandiwara dan sandiwara itu tidak mampu lagi menahan harimau Mat Keras memburu Siah. Mat Keras tidak sedar bahawa apa yang dianggapnya sebagai sandiwara itu benar-benar menguasai anaknya. Peringkat sandiwara itu adalah peringkat parah bagi anaknya. Harimau Mat Keras terus memburu Siah dan Siah semakin jauh melarikan dirinya ke alam fantasinya.

Siah tidak ada tempat perlindungan kecuali bersembunyi di dalam alam fantasi yang dibentuknya. Di dalam alam fantasinya harimau bapanya tidak ada. Dia berasa selamat apabila berada di sana. Sebab itulah setiap kali dia berhadapan dengan kekecewaan dan ketakutan dia akan lari ke dalam alam fantasinya kerana tempat persembunyian itu telah lama wujud dalam dirinya. Watak ini menjadi sebati dengannya dan dibawanya bersama-sama ke alam perkahwinan. Bila suaminya menjadi marah-marah Siah melihat harimau bapanya yang mengamuk maka dia lari ke dalam tempat persembunyiannya. Tindakan ini berlaku secara spontan kerana ia sudah menjadi sifat Siah.

Satu lagi keadaan yang sangat mempengaruhi jiwa Siah di zaman kanak-kanak ialah ketika dia sakit. Siah mendapati apabila dia sakit harimau bapanya tidak memburunya. Pada ketika itu dia dapat merasakan layanan yang berbeza daripada bapanya. Dia berpeluang menikmati layanan mesra dan berkasih sayang daripada bapanya selama dia sakit. Penyakit menjadi jambatan bagi Siah mendapatkaan perhatian bapanya. Bagi Siah penyakit menjadi, rahmat dan penawar. Oleh itu Siah gembira bila dia ditimpa penyakit. Dia akan memperbesarkan apa sahaja penyakit yang dihidapinya. Gigitan semut gatal boleh menjadi penyakit besar baginya supaya mendapat perhatian bapanya. Siah seolah-olah memberitahu tubuhnya supaya mengundang apa juga penyakit. Begitulah keadaan Siah yang terpaksa melemahkan rohani dan jasmaninya demi mendapatkaan perhatian seorang bapa. Tubuh Siah sentiasa bersedia uuntuk mengeluarkan penyakit sebelum berhadapan dengan harimau bapanya. Apabila penyakit tidak dapat menahan kemaraan harimau bapanya Siah akan lari ke alam fantasinya. Bila dia memutuskan hubungan dengan alam kenyataan dia berasa aman dan tenteram.

Penghidupan yang dijalani oleh Siah telah membentuk tenaga-tenaga berikut dalam dirinya:
1:  tenaga untuk takutkan segala-galanya dan berasa dirinya terancam.
2:  tenaga untuk melemahkan rohani dan jasmaninya.
3:  tenaga untuk melahirkan penyakit ketika berhadapan dengan sesuatu   yang menakutkannya.
4:  tenaga untuk lari ke alam fantasi dan merasakan pengalaman dan khayalan itu sebagai benar-benar berlaku kepada dirinya.

Itulah empat jenis tenaga yang sangat kuat menguasai Siah hasil daripada penghidupannya yang dikurung di dalam kandang seekor harimau. Harimau itu menunggangi bapanya yang tidak pernah tahu bahawa dia ditunggangi oleh haiwan yang ganas itu.

Setelah melihat Siah dari aspek hubungannya dengan bapanya kita perlu pula melihatnya dari aspek hubungannya dengan ibunya. Kekerasan yang diterima oleh Siah daripada bapanya melahirkan sikap memberontak tetapi dia tidak berani melepaskannya kepada bapanya. Sifat ibunya yang lemah lembut sangat Sesuai menerima pemberontakan Siah. Siah suka memaksa ibunya (semasa ketiadaan bapanya). Siah akan mengamuk jika ibunya tidak menurut kemahuannya. Dia akan menangis sekuat-kuat hati. Siti Lembut yang tidak tahu berkeras terpaksa tunduk kepada kemahuan Siah. Siah sentiasa menang dengan ibunya. Siah yang takutkan bapanya suka pula memerintah ibunya. Kedua-dua peribadi tersebut muncul pada diri Siah silih berganti. Keadaan ini dibawanya ke dalam rumah tangganya. Suaminya mengambil alih tempat bapanya dan ibunya sekaligus. Suaminya perlu berhadapan dengan Siah yang penakut dan Siah yang pemerintah. Ketika suami bersikap lemah lembut Siah berhadapan dengan ibunya yang sering diperintahnya. Bila suaminya bertukar menjadi garang Siah berhadapan dengan bapanya yang sangat ditakutinya. Dua jenis watak itu bersilih ganti muncul di hadapan suaminya.

Sebelum memasuki gerbang perkahwinan Siah telah dipersiapkan oleh ibunya untuk mengawal suami daripada dirampas oleh perempuan lain. Siti Lembut yang pernah mengalami pahit maung berumah tangga, berkahwin dan bercerai beberapa kali, sering menasihati anaknya agar berhati-hati apabila berkahwin nanti. Siah memang takut kalau-kalau dia akan menerima nasib yang sama seperti ibunya. Ibunya menasihatinya agar menjaga hati suaminya, berbuat taat dan menghormatinya. Siah memegang nasihat itu. Ibunya juga menasihatkan supaya Siah jangan lalai, dia harus berwaspada agar suaminya tidak dirampas oleh perempuan lain. Siah memegang juga nasihat ini. Siah mempunyai tenaga untuk menyayangi dan mentaati suaminya. Pada dirinya juga ada tenaga yang mencurigai dan mengawasi suaminya. Siah dihantui oleh perasaan takut kalau-kalau suaminya terlepas ke tangan orang lain. Dia takut melihat suaminya aktif di dalam pergaulan lebih-lebih lagi jika melibatkan perempuan. Dia takut melihat suaminya berjaya dalam kerjayanya kerana kejayaan itu boleh mendedahkan suaminya kepada rebutan perempuan lain. Dia takut jika suaminya lambat pulang ke rumah, takut kalau-kalau suaminya sudah tersangkut kepada perempuan lain. Ketakutan kepada kemungkinan dia akan ditinggalkan menyebabkan Siah dikuasai oleh perasaan curiga dan cemburu yang amat sangat. Tanpa disedarinya Siah memusuhi apa sahaja yang berpotensi menarik suaminya jauh daripadanya.

Setiap kali datang cetusan rasa yang menyentuh kebimbangannya itu tenaga memerintah menguasai Siah. Dia akan bersikap keras dan kasar, iaitu sikap yang membawa ibunya tuduk kepadanya. Sebagaimana ibunya dahulu tunduk kepadanya Begitulah Siah mahu suaminya tunduk kepadanya. Tetapi kadang-kadang suaminya tidak dapat bersabar dengan sikap Siah yang demikian. Suaminya mula marah-marah. Apabila Siah melihat harimau bapanya pada suaminya Siah akan dikuasai oleh tenaga takutkan harimau bapanya, lalu dia tunduk kepada suaminya. Siah dengan serta merta bertukar watak menjadi isteri yang taat, hormat dan menyayangi suaminya. Bila dia melupai harimau bapanya, ingatkan kepada kebimbangan ditinggalkan suami kembali menguasainya, dan dia kembali memberontak. Begitulah keadaan Siah; berubah-ubah watak yang berbeza-beza, silih berganti.

Siah adalah salah seorang daripada ramai manusia yang dikuasai oleh berbagai-bagai jenis ketakutan. Tidak ada orang yang boleh mengubati penyakit Siah kecuali Siah sendiri. Dia telah dijajah oleh tenaga takut. Tenaga yang boleh mengalahkan penjajahan tenaga takut ialah tenaga berani. Hanya berani boleh menghapuskan takut. Siah perlu menjalani latihan pembentukan keberanian. Dalam proses ini dia memerlukan seseorang untuk membimbing dan membantunya.
Siah hendaklah melatihkan dirinya supaya mengatasi penyakit takutnya satu persatu. Dia mesti berhujah dengan dirinya sendiri dan memandang dengan akalnya. Dia sudah tahu bahawa ketakutan itu adalah tenaga yang wujud dalam jiwanya akibat pengalaman hidupnya ketika zaman kanak-kanak. Dia jangan meletakkan asas pengubatan dengan meletakkan kesalahan ke atas bahu bapanya yang telah memasukkan tenaga takut itu ke dalam jiwanya. Meletakkan kesalahan kepada punca penyakit akan menambahkan penyakit dan melemahkan diri sendiri yang memang sudah pun lemah. Jika dia meletakkan kesalahan kepada bapanya dia akan ditimpa penyakit berasa simpati dengan diri sendiri, iaitu rasa kasihankan diri sendiri yang bersangatan yang terkandung di dalamnya rasa kecewa, menyesal ,marah, benci, dendam dan sebagainya yang semuanya itu akan membuat Siah menjadi murung dan lemah jiwanya. “Maafkan bapa kamu kerana dia tidak mengerti”. Jika Siah dapat memasukkan ayat ini ke dalam jiwanya bermakna dia sudah berjaya memasukkan satu tenaga yang kuat yang akan mengalahkan tenaga takutkan harimau bapanya. Walaupun Siah tidak menyedarinya tetapi di dalam jiwa Siah ada perasaan memusuhi dan mendendami perbuatan bapanya, Cuma perasaan demikian tidak zahir keluar. Perasaan demikianlah yang mengikat dirinya dengan harimau bapanya. Memaafkan adalah pintu kepada gedung yang menyimpan segala macam ubat dan penawar. Sebab itulah agama memberikan darjat yang tinggi kepada orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain.

Apabila Siah mengetahui punca penyakitnya dia akan dapat melihat dengan akalnya bahawa kejadian, orang, binatang dan benda yang aneh bukanlah anasir yang perlu ditakutkan. Dia mesti menerima hakikat bahawa untuk menewaskan ketakutan dia mestilah berhadapan dengan apa yang ditakutinya. Siah mesti melatihkan diri untuk menghadapi perkara yang membangkitkan ketakutannya. Pada peringkat permulaan dia perlu ditemani untuk melakukan tujuan tersebut. Kemudian mesti melakukannya tanpa berteman. Latihan menghadapi sesuatu yang menakutkan menjadi perjuangan bagi Siah. Setiap kali dia dapat berhadapan dengan perkara yang menakutkannya harimau yang mengejar di dalam dirinya akan menjadi semakin lemah. Siah akan merasakan kepuasan dan kebahagiaan setiap kali dia berjaya meruntuhkan benteng ketakutannya yang sudah berpuluh-puluh tahun memenjarakannya itu.

Apabila Siah dapat mengawal ketakutannya dia tidak lagi menggunakan tenaganya untuk berjuang menentang bayang-bayang. Dia akan mempunyai tenaga simpanan dalam dirinya. Tenaga simpanan ini akan menjadikannya lebih kuat dalam menghadapi penyakit. Kekuatan rohaninya membantu mempermudahkan proses penyembahan jasmaninya. Kekuatan rohani dan jasmani membantunya untuk menghapuskan harimau yang sudah bertahun-tahun memburunya.

Seterusnya Siah mesti berhadapan dengan penyakit takutkan suaminya dirampas oleh perempuan lain. Perasaan begini biasa dimiliki oleh orang perempuan dan tidak dianggap sebagai penyakit jika berada pada tahap terkawal. Jika perasaan yang demikian merasuk perempuan itu sehingga dia kehilangan pertimbangan dan kewarasan maka itu sudah menjadi penyakit. Siah hendaklah melihat kepada akibat yang berlaku lantaran dia membiarkan penyakit demikian menguasainya. Siah perlu bersendirian di tempat yang sunyi dan mengenang kembali segala kerosakan yang telah berlaku selama dia diperalatkan oleh tenaga tersebut. Jangan membawa kawan-kawannya untuk berbincang kerana pada peringkat ini Siah mestilah melihat melalui kaca matanya bukan melalui kaca mata orang lain. Apa yang terjadi selama Siah dikuasai oleh tenaga penyakit itu dia telah cenderung untuk berkawan dengan mereka yang menyetujui tindakannya yang secara tidak langsung mempertahankan tenaga penyakit yang menguasainya. Selama ini dia menolak nasihat yang boleh melemahkan penyakit itu. Dia banyak melihat melalui aspek yang dipersetujui oleh penyakitnya. Kawan-kawan yang sehaluan dengannya menjadi pembekal makanan yang menguatkan penyakitnya. Jika dia terus juga mendapatkaan khidmat nasihat daripada orang-orang yang demikian maka usaha untuk menghapuskan penyakitnya itu tidak akan berjaya.

Siah mesti bertafakur sendirian dengan meninggalkan jauh-jauh bisikan kawan-kawan dan mesti berhujah dengan ‘kuasa’ yang menjajahnya. Semasa bertafakur itu Siah mesti menganggapkan dia benar-benar berhadapan dengan seseorang yang cuba mempertahankan penyakit yang dihidapinya. Dia mesti mematahkan hujah orang itu dan memberikan hujah yang sehat sehingga orang itu mengaku kalah. Siah mesti sedar bahawa tidak ada orang lain yang lebih mengenali suaminya daripada dirinya sendiri. Pendapatnya sendiri tentang suaminya adalah pendapat yang paling benar sementara pendapat orang lain adalah pendapat agak-agak dan berdasarkan andaikan. Dia mestilah melukiskan gambaran yang benar dan setepat mungkin tentang suaminya sepanjang yang dia tahu dan kenal. Apabila sudah terbentuk satu gambaran suaminya yang lengkap, yang dibentuk melalui pengetahuan dan pengenalannya sendiri, maka dia hendaklah yakin dengan gambaran tersebut. Bila satu gambaran yang lengkap sudah ada dengannya dia boleh melihat dengan jelas kelebihan dan kecacatan suaminya. Dari situ dia boleh merumuskan samada patut atau tidak dia memperturutkan gesaan penyakitnya.

Satu lagi perkara yang perlu diperhatikan oleh Siah ialah dia selama ini telah membena kubu-kubu yang dapat mempertahankan dirinya daripada di serang oleh suaminya. Kesakitan yang datang tiba-tiba dan kadang-kadang membuat Siah pengsan, menyebabkan suaminya terpaksa menahan berungguh-sungguh perasaannya agar tidak menunjukkan kemarahannya.  Siah berjaya mengwujudkan tembok yang menghalang kemarahan suaminya daripada menyentuhnya. Tembok yang tidak kelihatan ini menjadi tempat persembunyian yang selamat. Tetapi ia juga meninggalkan kesan yang negatif pada hubungan pasangan yang dipisahkan oleh tembok tersebut.

Apabila sampai kepada tembok ghaib ini seseorang tidak dapat mencurahkan perasaannya. Ia seolah-olah mengeluarkan racun yang mematikan apa juga perasaan yang menghampirinya. Perasaan keluar daripada hati. Membunuh perasaan sama seperti membunuh hati itu sendiri. Hati yang mati tidak dapat mengeluarkan daya rasa yang seni, umpama pisau yang hilang tajamnya atau api yang hilang panasnya. Ramai orang tanpa disedari dan disengajakannya telah mencabut kesenian daya rasa daripada pasangan mereka. Bukan sedikit pasangan yang tidur sekatil tetapi arus karan tidak mengalir di antara mereka. Mereka adalah umpama batang kayu yang kering tidak mengeluarkan dedaun yang hijau, tidak mengeluarkan bunga yang harum dan tidak mengeluarkan buah yang lazat.  Keadaan begini bukan sahaja berlaku terhadap pasangan suami isteri. Ia boleh berlaku di antara anak dengan ibu bapanya, seseorang dengan jiran atau kawan, majikan dengan pekerja dan lain-lain. Seorang anak yang kehilangan daya rasa tidak akan merasai keghairahan sekalipun ibu bapanya menghadiahkannya kereta Proton Wira. Seorang ibu yang sudah kehilangan daya rasanya tidak akan berasa terharu sekalipun anaknya mencium kakinya.

Orang yang dihalang oleh tembok ghaib ini akan berkomunikasi dengan pasangannya melalui bahasa yang tidak bersuara iaitu diam. Diam adalah gabungan beberapa tenaga yang tidak boleh keluar dari dalam jiwa seseorang. Tenaga yang bergabung dan tersekat itu membena keupayaan yang sangat kuat. Jika tenaga-tenaga itu berada secara berasingan dan dibiarkan keluar secara sedikit demi sedikit ia tidak akan sempat berkumpul. Tetapi tenaga kecil-kecilan itu jika dibiarkan berkumpul di dalam jiwa ia akan mengwujudkan satu kuasa besar yang boleh menjajah jiwa itu. Apabila seseorang itu sudah dijajah oleh kuasa besar ini dia diperlengkapkan untuk bertindak di luar jangkaan pada masa akan datang. Bila tenaga penjajah ini sudah cukup kuat dan orang yang dijajah itu sudah benar-benar bersedia maka dia akan diheret ke salah satu arah iaitu samada ke tembok yang menghalangnya ataupun ke arah meninggalkan tembok tersebut. Jika dia merempuh tembok itu maka dia akan bertindak tegas meruntuhkannya dan sesiapa yang bersembunyi di sebalik tembok itu tidak dapat menyelamatkan dirinya lagi. Orang ini akan berhadapan dengana kekuatan yang mahu melepaskan geram. Jika tenaga diam mengheret mangsanya ke arah yang berlawanan dari tembok penghalang itu, maka sesiapa yang bersembunyi di sebalik tembok itu akan ditinggalkannya. Pada ketika itu tidak ada sesiapa yang mampu menghalangnya pergi meninggalkan pasangannya kerana tenaga yang mengheretnya sudah pun berada pada tahap yang sangat kuat, tidak dapat ditewaskan lagi. Tenaga seperti inilah yang mengheret suami meninggalkan isteri ‘tanpa sebab’, anak meninggalkan rumah ‘tanpa sebab’ dan bermacam-macam lagi.

Sesiapa yang melihat pasangannya berubah daripada sikap suka berterus terang dan periang menjadi diam dan kurang peka kepada keadaan rumah tangganya haruslah sedar bahawa satu bom jangka akan meletup jika keadaan tidak diperbaiki dengan segera. Siah dan orang yang sepertinya mestilah berani keluar dari tempat persembunyiannya. Tembik ghaib itu mesti diruntuhkan. Langkah pertama yang mesti dilakukan ialah mengakui bahawa tembok yang dianggap sebagai penyelamat itu sebenarnya merosakkan rumah tangganya. Dia hendaklah sedar bahawa pasangannya telah dijajah oleh kuasa yang mampu meruntuhkan rumah tangga mereka. Pasangannya mestilah dibebaskan daripada cengkaman kuasa tersebut. Caranya ialah membiarkannya meluahkan perasaannya. Siah mestilah menunjukkan sikap bersedia menerima teguran atau dimarah sekalipun. Jika dia ditegur atau dimarahi janganlah lari ke sebalik tembok ghaibnya. Sikap yang lebih terbuka akan memudahkan suaminya kembali normal.

Siah yang menyedari kesilapan-kesilapan yang dilakukannya akan menyesali banyak perkara. Dia berterusan di dalam penyesalan dia akan mempelawa penyakit murung menjajahnya. Siah adalah umpama seorang yang berdiri di hadapan rumahnya yang terbakar. Jika menangis mengeluarkan air mata darah sekalipun rumah yang sudah menjadi abu itu tidak akan terbina semula. Dia hendaklah mengambil langkah membersihkan tapak yang tinggal supaya rumah baharu boleh dibina. Kebakaran yang berlaku adalah proses penyucian supaya semua pokok yang mengeluarkan buah yang beracun tidak ada lagi di dalam kawasan rumahnya. Tanah yang bercampur dengan bahan bakaran menjadi tanah yang sangat subur, Sesuai untuk ditanam dengan bermacam-macam jenis pokok yang baik-baik. Siah akan memiliki semangat dan keperibadian yang kuat jika pengalaman yang dilaluinya memberi pengajaran kepadanya. Semangat perjuangan yang tumbuh selepas kegagalan adalah semangat yang sangat perkasa. Tanah yang disirami oleh abu kegagalan akan menumbuhkan pokok yang lebih kuat dan tegap andainya seseorang itu tidak berputus asa.


 
7: PENYAKIT RASUAH

Seorang konstabel polis menahan seorang penunggang motosikal yang tidak mempunyai lesen memandu. Penunggang motosikal itu memberi beberapa ringgit kepada konstabel polis itu dan dia dilepaskan tanpa disaman. Di sini berlaku rasuah. Penunggang motosikal memberi rasuah dan konstabel polis menerima rasuah. Seorang pegawai menggunakan kenderaan pejabatnya bagi tujuan yang tidak ada kena mengena dengan urusan pejabat. Di sini juga rasuah berlaku. Pemberi dan penerima adalah orang yang sama. Rasuah yang dilakukan mereka adalah jelas.

Kes kajian

Mat Dom bekerja sebagai pegawai tinggi di sebuah syarikat milik kerajaan. Syarikat ini banyak mendapat projek-projek tanpa dikeluarkan tender. Projek-rojek yang diperolehi diagih-agihkan kepada kontraktor-kontraktor kecil. Keputusan untuk memberi projek kepada mana-mana kontraktor dibuat oleh satu jawatan kuasa yang Mat Dom menjadi salah seorang ahlinya. Mat Dom tidak mempunyai kuasa untuk memberikan projek tetapi dia berhak memberi cadangan dan sokongan. Projek yang diberikan kepada kontraktor diselaraskan oleh Mat Dom. Mat Dom memberikan khidmat pengurusan kepada kontraktor-kontraktor yang rata-rata tidak memiliki kemahiran yang mencukupi. Dia membantu mereka dalam mendapatkaan bahan binaan, jentera-jentera sewaan dan juga memberi tunjuk ajar cara-cara mengendalikan sesuatu projek. Atas inisiatif Mat Dom pemborong-pemborong di bawah jagaannya dapat beroperasi dengan baik. Projek berjalan dengan lancar dan dapat disiapkan mengikut jadual. Sikap Mat Dom yang demikian membuatnya rapat dengan pemborong-pemborong yang mendapat projek daripada syarikat tempat dia bekerja. Oleh sebab Mat Dom selalu membantu mereka maka mereka juga tidak keberatan untuk membantu Mat Dom. Mereka membantu Mat Dom memperbesarkan rumahnya dan membelikannya kereta Proton Perdana. Mereka berbuat demikian bukan kerana desakan Mat Dom. Mereka menolong Mat Dom kerana Mat Dom menolong mereka. Adakah berlaku rasuah dalam kes Mat Dom ini?

Apabila ada dua daerah maka adalah sempadan di antara keduanya. Sempadan ini biasanya dipertikaikan, di dalam daerah yang mana satu sempadan ini berada. Di antara daerah rasuah dengan daerah bukan rasuah terdapat sempadan yang samar-samar kedudukannya. Dalam sempadan yang samar-samar inilah ramai orang berlumba-lumba mencari kesempatan kerana cahaya yang samar-samar itu menyebabkan mereka berani membuat hukum mengikut pendapat sendiri. Bagaimana hendak ditentukan kedudukan daerah yang menjadi pertikaian ini?

Pada zaman khalifah Umar al-Khattab seorang gabernor telah datang menghadapnya bertanyakan kedudukan hadiah yang diberikan kepadanya oleh rakyat tanpa meminta sesuatu sebagai balasan. Adakah hadiah itu termasuk di dalam istilah rasuah ataupun tidak. Khalifah Umar r.a menanyakan adakah jika orang itu tidak menjadi gabernor rakyat akan memberinya hadiah? Gabernor itu mengatakan tidak. Khalifah memfatwakan bahawa hadiah tersebut termasuk dalam takrif rasuah.

Satu lagi panduan dalam menentukan kedudukan perkara yang samar itu ialah sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Dosa menimbulkan kekacauan dalam jiwa. Orang yang melakukannya tidak mahu diketahui orang akan perbuatannya”.

Sekiranya Mat Dom tidak menjadi pegawai tinggi dalam syarikatnya adakah pemborong-pemborong membantunya memperbesarkan rumah dan membeli kereta? Adakah jiwa Mat Dom tenang menerima bantuan pemborong-pemborong memperbesarkan rumah dan membeli kereta? Adakah Mat Dom suka jika orang lain tahu yang pemborong-pemborong membantunya memperbesarkan rumah dan membeli kereta? Jika jawapan kepada soalan-soalan di atas adalah tidak maka kes tersebut adalah rasuah. Pemborong-pemborong memberi rasuah dan Mat Dom menerima rasuah.

Kes kajian

Penyakit rasuah bukan sahaja menyerang golongan bawahan dan pertengahan yang selalu berada dalam keadaan ‘perbelanjaan melebihi pendapatan’. Ia juga menyerang golongan atasan dan hartawan yang pada zahirnya kelihatan tidak mengalami masalah kewangan.

Dato’ Abu Basyir adalah seorang pembesar negeri. Dia dibayar gaji yang tinggi, disediakan rumah mewah yang lengkap dengan perabot, kenderaan siap dengan pemandu dan beberapa orang gaji. Dia juga diberi peruntukan untuk mengadakan majlis rasmi di rumahnya sebanyak enam kali setahun, pada masa yang dipilihnya sendiri. Dia tidak memerlukan apa-apa lagi dalam hidupnya, Begitulah anggapan kebanyakan orang.

Dato’ Abu Basyir mempunyai empat orang anak. Dalam satu tahun keluarga Dato’ Abu Basyir mengadakan keramaian sebanyak enam kali, iaitu untuk menyambut hari jadi si bapa, si ibu dan empat orang anak.

Keramaian yang enam kali itu diadakan dengan menggunakan peruntukan rasminya. Tiap-tiap kali keramaian diadakan ramailah para jemputan yang diundang. Semua yang datang membawa hadiah yang mahal-mahal. Setiap kali menyambut hari jadi penuhlah rumah Dato’ Abu Basyir dengan jam tangan bertali emas, barang-barang kemas, tv, peti sejuk, microwave oven dan lain-lain. Kebanyakan daripada barang-barang tersebut sudah pun ada di rumah Dato’ Abu Basyir dan tidak diperlukan. Barang-barang yang tidak diperlukan akan dibeli oleh seorang peniaga bernama Wan Bakar. Wan Bakar berfungsi sebagai pembantu sulit Dato’ Abu Basyir secara tidak rasmi. Wan Bakarlah yang bertanggungjawab mengundang tetamu-tetamu ke majlis Dato’ Abu Basyir sekeluarga. Wan Bakar mempastikan ada tetamu membawa apa juga barang-barang istimewa yang diingini oleh mana-mana ahli keluarga Dato’ Abu Basyir. Sekiranya barang-barang kemas yang dihadiahkan tidak secucuk dengan keinginan anak-anak Dato’ Abu Basyir maka Wan Bakar akan meleburkannya dan membuat bentuk yang dikehendaki.

Wan Bakar adalah seorang yang pintar dalam menguruskan keperluan peribadi Dato’ Abu Basyir. Dia cukup memahami selera Dato’ Abu Basyir. Satu permainan yang sangat digemari oleh Dato’ Abu Basyir ialah perempuan cantik. Wan Bakar menyediakan tempat dan barang permainan kegemaran Dato’ Abu Basyir itu. Perbelanjaan yang besar diperlukan bagi menguruskan permainan begini tetapi Wan Bakar dapat mengadakan peruntukannya.

Dato’ Kamasutra pula adalah seorang pembesar juga di negeri yang sama. Dato’ Kamasutra asalnya seorang yang berpangkat rendah. Oleh kerana dia mempunyai kebolehan maka dia dinaikkan pangkat setingkat demi setingkat sehingga menjawat jawatan penting dalam pentadbiran negeri. Dato’ Kamasutra berkahwin dengan Datin Sukasih ketika dia masih berjawatan rendah dahulu. Ketika itu dia belum lagi bergelar Dato’. Perubahan taraf yang cepat berlaku menimbulkan kejutan dalam diri Datin Sukasih. Datin Sukasih melihat suaminya sebagai seorang pembesar yang ‘bertubuh emas’, yang menjadi idaman dan rebutan perempuan-perempuan lain. Dia mengawal bersungguh-sungguh agar tidak ada perempuan lain mencuri ‘emasnya’. Sikap Datin Sukasih yang demikian menyebabkan Dato’ Kamasutra merasakan kehilangan sesuatu yang manis dalam rumah tangganya yang pernah dikongsikan bersama isterinya dahulu. Keadaan ini mengwujudkan rasa kekosongan dalam jiwanya. Dato’ Kamasutra mempunyai Perwatakan yang berbeza daripada Perwatakan Dato’ Abu Basyir. Dato’ Abu Basyir yang juga mempunyai masalah dengan isterinya dapat menghiburkan hatinya dengan permainan yang disediakan oleh Wan Bakar. Dato’ Kamasutra tidak suka dengan permainan yang demikian. Kekosongan jiwanya diisikannya dengan Keasyikan bekerja sehingga dia menjadi seorang yang ketagih kerja.

Wan Bakar dapat membaca masalah yang ditanggung oleh Dato’ Kamasutra dan dia juga mengetahui perangai Dato’ Kamasutra yang tidak suka berseronok di luar. Wan Bakar mengambil jalan memperkenalkan beberapa orang wanita yang baik-baik kepada Dato’ Kamasutra tetapi semuanya ditolak oleh Dato’ Kamasutra. 

Dato’ Kamasutra yang tidak berminat dengan wanita itu tiba-tiba tersentak apabila Wan Bakar mempertemukannya dengan Sukma Dewi. Memandang sahaja paras Sukma Dewi lampu yang sudah lama terpadam tiba-tiba menyala dalam jiwa Dato’ Kamasutra. Sukma Dewi mengembalikannya kepada zaman percintaannya yang silam. Sukma Dewi memiliki keayuan gadis kecintaannya yang dahulu terzahir pada Sukasih, kini muncul sebagai Sukma Dewi. Dato’ Kamasutra sangat gembira dapat berkenalan dengan Sukma Dewi dan dia berterima kasih kepada Wan Bakar yang telah menemukannya dengan sesuatu yang berjaya mengisi kekosongan jiwanya. Hubungan Dato’ Kamasutra dengan Wan bakar menjadi semakin erat. Dato’ Kamasutra memerlukan Wan bakar untuk mengatur pertemuannya dengan Sukma Dewi secara tertutup tanpa diketahui oleh isterinya dan juga orang lain. Ternyata Wan Bakar mampu melaksanakan tuagsnya dengan baik. Wan Bakar bukan sekadar mengaturkan perjumpaan sepasang kekasih itu malah dia juga memberi perhatian agar keselesaan hidup Sukma Dewi terpelihara. Segala Perbelanjaan berkenaan diuruskan oleh Wan Bakar.

Dato’ Abu Basyir dan Dato’ Kamasutra, sebagai pembesar-pembesar negeri tentu sahaja mempunyai orang-orang bawahan yang perlu dijaga bagi memelihara kedudukan mereka. Sekali lagi Wan Bakar memainkan peranannya. Apa juga Perbelanjaan yang diperlukan untuk menjaga kepentingan Dato’-dato’ tersebut dibiayai oleh Wan Bakar.

Penglibatan Wan Bakar sangat mendalam dan tanggungannya juga berat. Dato’ Abu Basyir dan Dato’ Kamasutra tidak membiarkan Wan Bakar menanggung kesusahan. Lagipun segala rahsia mereka disimpan oleh Wan Bakar. Oleh yang demikian wan  Bakar perlu diajak berunding bagi menjamin ‘jabatan’ yang dikendalikan oleh Wan Bakar dapat berjalan dengan lancar dan selamat. Biasanya sebelum menghadiri mesyuarat pengagihan perbelanjaan negeri Dato’ Abu Basyir dan Dato’ Kamasutra akan bermesyuarat secara sulit dengan Wan Bakar. Wan Bakar akan menjelaskan strateginya dan kedudukan kepentingannya yang perlu diambil kira dalam mengagihkan perbelanjaan negeri. Satu keputusan dicapai dan keputusan itulah yang dibawa ke majlis mesyuarat negeri. Cop mohor kerajaan diturunkan berdasarkan strategi yang digubal oleh Wan Bakar. Bila cop mohor sudah diperturunkan maka peruntukan yang besar dapat disalurkan kepada ‘jabatan’ tang dikendalikan oleh Wan bakar bagi menjamin:
1) Dato’ Abu Basyir sentiasa mendapat hadiah istimewa.
2) Dato’ Abu Basyir dapat meneruskan permainannya.
3) Dato’ Kamasutra sentiasa berdampingan dengan kekasihnya.
4) Kedudukan kedua-duanya terpelihara.

Peruntukan yang disalurkan kepada ‘jabatan’ yang tidak ada di dalam senarai portfolio kerajaan ini sangatlah besar. Jika ia digunakan untuk membena masjid dalam tempoh lima tahun semua kampung dalam negeri berkenaan akan mendapat masjid yang indah dan selesa.

Persoalannya mengapa orang-orang yang telah dibayar gaji untuk membuat kerja yang diamanahkan kepada mereka masih juga mencari upah tambahan sedangkan ada di antara yang sudah tidak kehabisan wang? Jika kita mahu memahami tentang rasuah kita janganlah melihatnya sebagai perbuatan semata-mata, tetapi ia hendaklah dilihat sebagai sifat atau keperibadian yang terbentuk dalam diri seseorang. Kita perlu berfikir sebagai orang yang berkeperibadian rasuah untuk memahami penyakit ini. Jika kita melakukan rasuah dan kita ditanya adakah kita melakukan rasuah, kita akan menjawab tidak. Kita memang merasakan yang perbuatan kita itu bukan rasuah. Kita adalah orang yang mempunyai kuasa. Dalam melaksanakan kuasa yang diletakkan di atas bahu kita telah ramai orang yang kita bantu. Ramai penganggur yang sudah mendapat pekerjaan kerana pertolongan kita. Ramai pemborong yang sudah mendapat projek kerana pertolongan kita.  Ada juga penjenayah yang tidak masuk penjara kerana pertolongan kita. Ramai yang sudah menjadi senang dan kaya raya kerana pertolongan kita. Kekayaan mereka lebih banyak daripada apa yang kita miliki. Pokoknya kerana pertolongan kita ada pihak yang mendapat kesenangan dan terhindar daripada kesusahan. Mereka yang telah terhutang budi dengan kita merasakan berkewajipan membalas budi. Mereka memberi kerana membalas budi. Kita tidak berasa bersalah. Orang lain yang mempunyai kuasa jua berbuat seperti apa yang kita buat. Apakah perbuatan membalas budi itu rasuah?

 Rasuah bukan seperti penyakit luka di tangan yang dapat dilihat darah mengalir dan dapat dirasakan Kesakitannya. Tidak ada apa-apa Perbezaan bagi kita menerima wang gaji dengan wang yang dikatakan sebagai rasuah. Kita merasai nikmat yang sama ketika meniduri isteri kita dengan ketika meniduri perempuan yang dikatakan bahan rasuah. Tidak ada satu lampu yang menyala ketika rasuah dilakukan. Adalah perkara biasa apabila kita menjaga kepentingan seseorang maka orang itu menjaga kepentingan kita. Berbagai-bagai lagi alasan yang diadakan bagi membungkus hakikat rasuah.

Kita sudah mempunyai harta yang banyak tetapi kita masih juga inginkan tambahan, sedangkan yang ada masih belum digunakan sepenuhnya. Kita diheret oleh sejenis tenaga supaya menimbun dan terus menimbun kepada longgokan yang sudah ada. Tenaga ini dinamakan tamak. Tenaga menghalang pandangan manusia daripada melihat kepada apa yang sudah ada. Sesiapa yang dikuasainya akan memiliki sifat sentiasa inigin memiliki. Jika sudah memiliki sebuah gunung emas dia mahukan sebuah lagi. Jika sudah memerintah sebuah negeri dia mahukan sebuah lagi. Jika sudah memiliki sepuluh buah kereta mewah dia mahukan sepuluh buah lagi. Tenaga tamak akan membuat manusia kehilangan kewarasannya apabila dia berhadapan dengan sesuatu yang diingininya. Samalah halnya dengan seekor harimau yang tidak dapat mengawal dirinya jika berhadapan dengan seekor kucing. Jika diperhatikan dengan mendalam tenaga tamak yang menguasai dato’ Abu Basyir adalah sama dengan tenaga ganas yang menguasai Abu Zalim Cuma rupanya berbeza.

Salah satu ‘mata-wang’ yang sering digunakan dalam pertukaran rasuah ialah perempuan. Lebih tepat jika dikatakan wang itu ialah seks. Seks adalah satu kuasa yang kuat dalam mempengaruhi lelaki. Ramai lelaki yang berjawatan tinggi dan berkuasa tidak dapat disogokkan dengan harta tetapi dengan mudah ditundukkan dengan seks. Seks mampu menjadikan orang yang berpangkat tinggi menjadi hamba kepada orang yang tidak berpangkat.. Mengapa seks begitu berkuasa?

Lelaki dan perempuan mempunyai alat kelamin yang dinamakan kemaluan. Ia dinamakan kemaluan kerana ia adalah sesuatu yang dimalukan, yang dijaga dengan baik dan tidak didedahkan. Lelaki yang mengalami kecacatan pada kemaluannya akan kehilangan ‘kelakiannya’ dan ramai lelaki yang rela mati daripada mengalami demikian. Perempuan pula rela menggadaikan nyawanya demi mempertahankan kemaluannya. Benda yang paling tinggi nilainya dan paling dijaga kesuciannya itu hanya diserahkan oleh seorang lelaki kepada isterinya dan oleh perempuan kepada suaminya. Pertemuan secara suami dan isteri menjadi etika yang mulia bagi semua bangsa dan semua kaum.

Hanya dalam golongan manusia sahaja mempunyai peraturan ikatan suami isteri sebagai keizinan untuk mendapatkaan nikmat seks. Golongan haiwan tidak ada peraturan seperti ini.  Dalam dunia haiwan jantan yang kuat itulah yang menguasai betina yang ia mahu. Seekor kerbau jantan yang kuat menguasai semua kerbau betina dalam kumpulannya. Inilah Perbezaan di antara manusia dengan haiwan. Tetapi ada manusia yang suka menggabungkan aktiviti seks menurut peraturan manusia dan tabiat haiwan. Mereka mempunyai isteri dan kerbau betina. Ketika mengadakan hubungan seks dengan isteri mereka adalah manusia. Ketika mengadakan seks dengan kerbau betina mereka adalah kerbau jantan. Perlakuan seks secara kerbau jantan ini diluluskan oleh pelakunya hanya ketika melakukannya sahaja. Setelah nafsu kerbau jantannya puas kemanusiaannya kembali. Kemanusiaannya mengutuk perlakuan kerbau jantan yang telah dibuatnya. Perbuatan tersebut sangat memalukannya. Sebab itu mereka tidak mahu orang lain mengetahui perihal perbuatan mereka. Di sini berlakulah konflik dalam jiwa mereka. Apabila kemaluan digunakan secara tidak bermalu ia akan melahirkan ‘kemaluan’ yang lebih besar. Perasaan malu yang terbit daripada perbuatan kerbau jantan itu dijaga dengan rapi. Dalam menjaga dan menyembunyikan ‘kemaluan’ jenis ini mereka sanggup menjual negeri. Orang yang seperti inilah dijajah walaupun mereka berkedudukan tinggi.

Ada juga lelaki yang tidak menyetujui dan tidak melibatkan diri dengan aktiviti seks secara bertukar-tukar pasangan. Golongan ini hanya melakukan seks dengan perempuan yang dikasihinya, samada isteri atau perempuan lain yang dikasihinya. Dato’ Kamasutra termasuk di dalam golongan ini. Lelaki jenis ini menjadi hamba kepada cinta. Cinta boleh membuat seseorang hilang kewarasan.  Romeo dan Juliet mati meminum racun kerana cinta. Khais menurut jejak Laila walau ke mana Laila pergi, meskipun Laila sudah menjadi isteri orang, semuanya kerana cinta. Raja zaman dahulu kala berperang, beribu rakyat terbunuh, semata-mata kerana raja mahu memiliki tuan puteri yang dicintainya. Manusia sangat tamak dalam mendapatkaan apa yang dicintainya kerana itu dia boleh diperkudakan. Inilah yang menimpa Dato’ Kamasutra.

Jika diperhatikan akan didapati bahawa rasuah adalah tenaga, satu tenaga yang kuat, berkumpul padanya beberapa tenaga atau boleh juga dikatakan rasuah adalah buah bagi beberapa penyakit yang berkumpul. Di antara penyakit-penyakit tersebut ialah:
1) Mementingkan diri sendiri.
2) Berasa besar diri kerana berkedudukan tinggi.
3) Tidak ikhlas.
4) Berasa nilai diri lebih tinggi daripada gaji yang diterima.
5) Tamakkan harta.
6) Hamba syahwat.
7) Keinginan bermewah lebih daripada kemampuan.
8) Mahukan keseronokan tetapi tidak mahu berbelanja untuknya.
9) Tidak menghormati peraturan dan undang-undang.

Beberapa tenaga individu apabila berkumpul akan melahirkan tenaga rasuah yang sangat kuat. Orang yang dikuasai oleh tenaga rasuah tidak dapat melakukan keadilan. Tenaga rasuah enggan melihat kepada kerosakan yang dilakukannya. Kita telah melihat tenaga ganas Abu Zalim mencederakan kanak-kanak berumur empat tahun. Tenaga ganas Darus merompak dan menyamun orang ramai. Tenaga rasuah Dato’ Abu Basyir pula merompak sebuah negeri. Abu Zalim ditangkap sebagai penjenayah dan dipenjarakan. Darus juga ditangkap sebagai penjenayah dan dikenakan hukuman rotan. Tetapi undang-undang tidak dapat menyentuh Dato’ Abu Basyir malah dia dilindungi dan diberi penghormatan. Siapakan yang paling merbahaya di antara mereka?

Tenaga rasuah menjajah semua peringkat masyarakat. Tenaga rasuah yang menjajah pemimpin peringkat kampung akan menggangu pentadbiran peringkat daerah. Tenaga rasuah yang menjajah pemimpin peringkat daerah akan menggangu pentadbiran negeri. Tenaga rasuah yang menjajah pemimpin peringkat negeri akan menggangu pentadbiran negara. Tenaga rasuah yang menjajah pemimpin negara akan membawa negara dijajah oleh orang luar. Kerosakan yang dilakukan oleh tenaga rasuah ini sangat hebat sekali sehingga Nabi s.a.w bersabda yang maksudnya:
Kejahatan rasuah 36 kali melebihi kejahatan zina

Orang yang berbuat rasuah sekali sama jahatnya dengan orang yang berzina 36 kali. Begitulah hebatnya kecaman Nabi s.a.w terhadap rasuah.

Orang yang mengamalkan rasuah tidak akan dapat melihat rasuah selagi dia tidak mengesan sifat-sifat individu yang menguasainya. Jika sifat-sifat tersebut tidak disingkap dia akan berlindung di sebalik berbagai-bagai istilah seperti; bayaran pengurusan, bayaran khidmat nasihat, imbuhan membalas budi, hadiah yang diberi dengan ikhlas dan berbagai-bagai lagi. Seseorang itu haruslah merenungi perjalanan sejarah hidupnya dan mengenal pasti tenaga-tenaga perosak yang telah menjajahnya dan mengubati dirinya agar terlepas daripada penjajahan tersebut. Apabila tenaga-tenaga individu itu dapat dikalahkan tenaga rasuah tidak mempunyai kekuatan lagi.