4: PENYAKIT KETAGIH KERJA
5: PENYAKIT GANAS DAN KEJAM

4: PENYAKIT KETAGIH KERJA

Ketagih kerja merupakan satu fenomena hidup yang popular di kalangan masyarakat dunia hari ini. Orang yang ketagih kerja samalah seperti orang yang ketagih arak dan dadah. Dia merasakan sesuatu tidak kena pada dirinya melainkan jika dia berada dalam suasana pekerjaannya, samada dia melakukan pekerjaan ataupun memikirkan tentang pekerjaan. Dia pergi ke tempat kerjanya lebih awal daripada pekerja-pekerja lain dan dia pulang paling lewat. Dia biasa pergi ke pejabatnya pada waktu malam untuk menyiapkan kerjanya. Dia juga biasa membawa  pulang fail-fail pejabat ke rumah untuk disiapkan Sebelum menjelang waktu kerja pagi esoknya. Dia memberus gigi sambil memikirkan tentang kerjanya. Dia bersarapan sambil memikirkan tentang kerjanya. Dia memandu kereta sambil memikirkan tentang kerjanya. Dia berjalan sambil memikirkan tentang kerjanya. Walaupun kebanyakan daripada masa sudah dihabiskan untuk kerja namun, dia masih merasakan masih ada kerja yang belum diselesaikannya. Dia masih juga mecari peluang untuk membuat kerjanya.

Orang ini melakukan kerjanya dengan cermat. Begitu yang dikehendakinya daripada pekerja-pekerja di bawahnya. Dia membuat kerjanya dengan teliti. Dia juga mengawasi kerja orang lain supaya mereka juga membuatnya dengan teliti. Dia tidak dapat menerima sebarang kesilapan, walaupun kesilapan itu kecil pada pandangan orang lain. Dia mahu kerja dilakukan dengan tepat, kemas dan sempurna.

Semua masa dan kesempatan digunakannya untuk kerja. Dia tidak ada masa untuk kegiatan yang tidak bersangkutan dengan kerjanya. Dia jarang mengambil peluang untuk menghadiri majlis perkahwinan dan kematian yang diadakan dalam masyarakat sekalipun melibatkan keluarga yang terdekat. Dia juga tidak berkesempatan untuk menghantarkan anaknya yang sakit ke klinik, apalagi mahu membawa keluarganya bersiar-siar. Semuanya diuruskan oleh isterinya. Urusan rumahtangga adalah urusan isteri. Dia pula bertanggungjawab ke atas tugas menyara kehidupan keluarga. Bila tugas utama dilakukannya dengan baik dan sempurna maka perkara-perkara lain yang kurang utama boleh dilakukan oleh orang lain. Dia tidak Perlu lagi diganggu dengan perkara yang tidak penting.

Prinsip hidup orang ini ialah “Pekerjaan diutamakan!”. Orang sakit boleh sampai ke hospital tanpa campur-tangannya. Orang mati boleh bersemadi di dalam tanah tanpa campur-tangannya. Orang yang mahu berkahwin b oleh menghadap Qaddi tanpa campur-tangannya. Anak isteri boleh meneruskan kehidupan mereka dengan segala kemudahan yang disediakannya, tidak perlu lagi merenget kepadanya. Tetapi, pekerjaannya tidak boleh menjadi sempurna tanpa penglibatan dirinya. Sentuhan ajaibnya penting bagi menjamin urusan pekerjaan berjalan dengan lancar. Di tempat kerja itu dia adalah umpama jantung yang mengepam darah ke seluruh anggota tenaga kerjanya. Jika dia tidak berfungsi maka semua anggota akan menjadi lumpuh. Oleh sebab anggota kerjanya tidak boleh berfungsi dengan baik jika dia tidak hadir, sebaliknya masyarakat boleh terus bergerak tanpa kehadirannya, oleh itu wajar baginya menumpukan sepenuh perhatian kepada pekerjaan dan dia tidak perlu melibatkan dirinya dengan aktiviti masyarakat.

Orang ini tidak memperdulikan pandangan jiran dan masyarakat terhadap dirinya. Mereka boleh berkata apa sahaja, yang penting dia mempunyai kesedaran bahawa dia tidak merosakkan dan menyusahkan sesiapa. Walaupun dia tidak menyertai aktiviti masyarakat namun, dia tidak menghalang anak isterinya berubat demikian. Jadi, baginya tidak ada apa yang kurang dan membolehkan masyarakat menuntut sesuatu daripadanya. Soal sebahagian anggota masyarakat mencemuh dan beranggapan yang tidak baik terhadap dirinya itu adalah soal remeh-temeh yang tidak perlu diberi perhatian. Keadaan yang sama juga berlaku antara orang ini pekerja-pekerja bawahannya. Dia tidak menghiraukan anggapan dan tohmahan mereka. Mereka boleh mengatakan apa sahaja mengenainya.  Mereka boleh meletakkan gelaran apa sahaja kepadanya. Dia tidak berasa tersinggung. Padanya sudah menjadi perkara biasa bagi orang yang menjalankan pekerjaan yang baik menerima tentangan daripada setengah pihak. Perkara yang penting adalah mereka yang tidak menyukainya tidak menemui kesalahannya. Dia tidak sensitive terhadap ahli masyarakat dan ahli tempat kerja. Tetapi, dia sangat sensitif terhadap tiga orang, iaitu ketuanya, isterinya dan anaknya. Dia mudah tersinggung jika ketuanya mengkritik pekerjaannya yang telah dibuatnya dengan sebaik mungkin. Dia mudah melenting jika isterinya mengingatkannya tentang soal urusan rumahtangga dan jiran mereka. Dia mudah meradang jika anaknya tidak mendengar cakapnya.

Orang yang menghidapi penyakit ketagih kerja biasanya dapat menikmati kejayaan dalam kerjayanya bagi satu tempoh. Tidak dapat dipastikan berapa lama dia boleh bertahan dengan kejayaan tersebut. Tetapi, yang pasti dia akan sampai kepada had maksimum kejayaannya kemudian keupayaannya akan menjunam turun. Dia telah menambahkan penggunaan kuasanya dari hari ke hari, bertahan-tahun lamanya, sehingga sampai kepada peringkat kilang pengeluaran kuasanya tidak mampu membekalkan kuasa yang diperlukannya. Dia terus memaksa jentera kilangnya supaya terus meningkatkan bekalan kuasa. Pada satu peringkat dia menyangka keupayaannya menurun. Sebenarnya dia sentiasa meningkat sehingga dia sampai kepada had maksimum. Pada had maksimum itu dia bertahan, tidak meningkat, lalu dia menyangkakan itu sebagai tanda kemerosotan. Orang yang tidak sedar bahawa dia telah sampai kepada had maksimum keupayaannya, masih juga memaksa jenteranya mengeluarkan kuasa yang lebih, maka orang ini akan menemui mala petaka yang besar. Ibaratnya orang yang tidak yang dia sudah berada di puncak bukit dan dia terus juga menekan minyaknya, dia enggan menekan brek, maka dia akan meluncur turun dengan lajunya lalu terjun ke dalam gaung. Kita boleh temui orang-orang yang sedemikian di dalam berbagai-bagai golongan masyarakat. Seorang seniman pada zaman kegemilangannya berjaya menghasilkan karya yang bermutu tetapi dia sampai kepada tahap memaksa dirinya melakukan lebih daripada kemampuannya, dia tidak lagi mampu menghasilkan karya bermutu. Seorang pemimpin yang asalnya berkarismatik, apabila sampai kepada peringkat memaksa dirinya agar lebih berkarismatik, dia akan berubah menjadi seorang badut. Seorang ahli perniagaan yang tidak tahu mengubah haluan apabila dia sampai ke penghujung bidangnya akan membawa kejatuhan kepada empayarnya. Seorang pelajar yang memaksa dirinya agar belajar lebih daripada kemampuannya akhirnya terperangkap untuk membaca ayat yang sama berulang-ulang dan dia tidak berdaya untuk berpindah kepada ayat yang lain.

Sesiapa sahaja yang sampai kepada benteng kebuntuan hendaklah membuat kaji-selidik mengenai dirinya. Orang yang mengikuti kedegilan nafsunya dengan merempuh benteng kebuntuan itu akan tercampak ke dalam dimensi lain yang tidak ada kenyataan di dalamnya. Apa yang ada hanyalah kekeliruan. Orang sesat di dalam kekeliruan akan lebih sukar untuk kembali ke alam nyata. Tidak sedikit bilangan manusia yang sesat di dalam alam kekeliruan dan tidak dapat kembali ke alam nyata, kesudahannya mereka bermastautin di hospital sakit jiwa.  Jadi, janganlah cuba-cuba menembusi benteng kebuntuan itu, sekalipun anda seorang yang berpendidikan tinggi dan berilmu banyak kerana segala sesuatu mempunyai hadnya termasuklah ilmu anda.

Benteng kebuntuan adalah isyarat supaya anda berehat, bertenang dan mengosongkan fikiran anda daripada bahan-bahan berkaitan pekerjaan. Anda perlu mengambil cuti dan memisahkan secara menyeluruh dengan pekerjaan anda buat seketika. Anda mesti berhadapan dengan salah satu daripada dua jenis kebimbangan. Pertama, anda keberatan untuk pergi jauh dari tempat kerja anda mungkin kerana anda bimbang jika anda tidak ada pekerja-pekerja lain tidak dapat mengeluarkan hasil sebagaimana ketika anda ada. Kemungkinan yang kedua ialah anda bimbang jika semasa ketiadaan anda ada pekerja di bawah anda mampu menghasilkan kerja yang lebih baik daripada apa yang anda dapat hasilkan, dan dengan demikian imej anda dan kedudukan anda tergugat. Walau jenis apa daripada dua jenis kebimbangan ini, ia akan menguasai anda dan menjadi racun yang boleh membunuh anda jika anda enggan melepaskannya.

Sekiranya anda bimbang dengan ketiadaan anda (kebimbangan pertama), kerja tidak dapat berjalan dengan baik, maka anda pergilah melawat Makam Pahlawan. Di sana anda boleh bertafakur mengambil iktibar. Di Makam Pahlawan itu bersemadi jasad tiga orang bekas Perdana Menteri negara. Semasa era Perdana Menteri Pertama rakyat umum berasa bimbang dan kurang yakin ada orang lain yang dapat mengambil alih jawatan tersebut dan menjalankan tugas sebaliknya. Bila Perdana Menteri Pertama mengundur diri jawatan tersebut diambil alih oleh orang lain di tengah-tengah kebimbangan dan ketidakyakinan rakyat umum. Perdana Menteri kedua membuktikan kebimbangan rakyat tidak berasas. Pembangunan negara terus berkembang sehingga menimbulkan kekaguman rakyat. Kekaguman itu sekali lagi melahirkan kebimbangan pada rakyat. Rakyat bimbang Perdana Menteri ketiga tidak mampu meneruskan arus pembangunan yang sedang pesat mengalir. Perdana Menteri ketiga membuktikan ketegasan dan disiplinnya mampu meneruskan perjuangan yang ditinggalkan dua orang Perdana Menteri sebelumnya. Kemudian Perdana Menteri keempat mengambil alih jawatan yang paling penting di dalam negara itu. Beliau telah berjaya membawa perubahan besar kepada negara dalam banyak segi sehingga negara dikenali di seluruh dunia. Hal demikian menyebabkan ada sebahagian rakyat berasa bimbang dan menggertak diri mereka sendiri apakah yang akan terjadi bila tiba masanya Perdana Menteri yang sangat berwawasan ini mengundurkan diri. Apakah penggantinya mampu merealisasikan wawasan yang diasaskannya? Rakyat terus dihantui oleh kebimbangan demi kebimbangan. Tetapi, bertafakur di Makam Pahlawan membuat kita yakin bahawa negara tidak akan berhenti melahirkan pahlawan-paahlawan yang akan mengharumnkan nama negara ke seluruh dunia. Mungkin satu hari nanti lahir pahlawan-pahlawan yang akan memegang jawatan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, membawa negara mengatasi Jepun dalam bidang teknologi, membawa negara menjadi satu kuasa besar dan lain-lain.

Kebimbangan yang kedua ialah anda takut kedudukan anda tergugat jika orang lain mampu menjalankan tugas anda. Mungkin kebanyakan orang menganggap kebimbangan begini sebagai satu perkara kecil yang tidak memberi kesan kepada kehidupan manusia. Jika kita kaji perjalanan sejarah dunia kita akan dapati kebimbangan yang dianggap kecil ini telah banyak merosakkan kehidupan manusia dan mengubah perjalanan sejarah. Ramai bos yang tidak memberi kesempatan kepada pegawai-pegawainya yang berpotensi kerana takut kedudukannya terancam. Ramai pemain bola sepak veteran sengaja memisahkan pemain baharu ketika latihan agar bakat pemain baharu itu tidak terserlah. Kebimbangan yang demikian juga membuat seorang raja menghalau adiknya dari negerinya atau memenjarakan adiknya itu agar tidak ada orang yang layak menggugat takhtanya. Kebimbangan yang seperti ini juga membuat pemimpin politik ‘menutup pintu’ kepada tokoh-tokoh politik yang boleh mencabar kedudukannya.

Kebimbangan yang nampaknya kecil ini sebenarnya adalah satu tenaga yang kuat dan sukar dikalahkan. Samalah seperti anak kecil yang takutkan hantu. Walau semua orang mengatakan hantu tidak wujud namun, anak kecil itu tetap takutkan hantu kerana hantu benar-benar wujud dalam khayalan dan fikirannya. Fikiran orang dewasa juga boleh diganggu oleh hantu dalam bentuk takut dan bimbangkan masa depan. Ketakutan dan kebimbangan seperti ini benar-benar wujud dalam diri seseorang itu, sama seperti penyakit barah yang mengenai tubuh badan. Apa yang penting bagi orang yang berkenaan ialah dia perlu menerima hakikat penyakitnya itu, sebagaimana pesakit barah menerima hakikat penyakitnya. Dia tidak perlu berasa malu untuk berubat demikian, sebagaimana pesakit barah tidak malu memberitahu doktor tentang penyakitnya. Jika seseorang itu berjaya mengakui dirinya berpenyakit bermakna dia sudah berjaya mengubati separuh daripada penyakit itu. Proses yang seterusnya adalah lebih mudah.

Sebaiknya orang yang menghidapi penyakit begini perlu menemui pakar psikologi dan menjalani rawatan psychotherapy. Pakar psikologi membantu pesakit menyelam ke dalam lautan sejarah hidupnya dan mencari serta mengenal-pasti punca-punca, gejala-gejala atau kejadian-kejadian yang telah mempengaruhi dan menguasai pesakit sehingga terbentuk sifat-sifat yang merosakkan dirinya sendiri. Pesakit dibawa melihat bagaimana kejadian yang sekian lama berlaku dahulu dapat mempengaruhi hidupnya. Pesakit juga dibawa memahami bagaimana dia telah membiarkan Kejadian menguasai dirinya dan bukan dia yang menguasai kejadian yang menimpanya. Pesakit diberikan kesedaran tentang apa yang akan terjadi apabila dia melepaskan kawalan terhadap dirinya dan tanpa disedarinya dia telah membiarkan dirinya ‘dirasuk’ oleh anasir luar yang dibawa oleh kejadian yang mengenainya. Bila dia dirasuk dia kehilangan sifatnya yang asli dan mengambil sifat yang terhasil daripada kejadian yang merasuknya itu sebagai sifatnya sendiri. Dia tidak sedar yang dia sudah menjadi tunggangan anasir kejadian yang menimpanya.

Kejadian yang berlaku semasa kanak-kanak banyak mempengaruhi dan menguasai seseorang dan membentuk peribadi yang dibawa sehingga mati. Misalnya, seorang ahli yang berjaya dalam kerjayanya, apabila ditanya bagaimana dia boleh berminat menjadi seorang politikus, dia mengeluarkan sekeping gambar hitam-putih yang dikerat dari suratkhabar yang telah lusuh. Gambar itu menunjukkan seorang kanak-kanak yang sedang bersalaman dengan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Ahli politik itu memberitahu bahawa kanak-kanak dalam gambar itu ialah dirinya sendiri ketika berumur enam tahun. Tangannya pernah sekali bersalaman dengan Perdana Menteri. Mereka bersalam hanya beberapa saat sahaja namun, salaman ajaib itu telah memahatkan cita-cita dan azamnya untuk menjadi seorang ahli politik, macam Tunku Abdul Rahman. Dia tidak berganjak daripada cita-citanya yang tercipta daripada sentuhan Perdana Menteri itu.

Bagaimana pula kejadian pada zaman kanak-kanak dapat mempengaruhi seseorang menjadi ketagih kerja dan bimbangkan masa depan?

Kes yang diibuat kajian

Darif adalah anak yang paling tua dalam satu keluarga yang sangat miskin. Dia mempunyai lima orang adik beradik semuanya. Keluarganya tinggal di sebuah pondok buruk beratap nipah. Bila hari hujan tidak ada satu ruang di dalam pondok itu yang cukup luas bagi menampung seorang manusia untuk tidur tanpa terkena air hujan. Darif pernah mengalami kejadian serpihan atap nipah jatuh ke dalam pinggan ketika dia sedang makan nasi. Darif dipaksa oleh kemiskinan keluarganya supaya menyaksikan peristiwa adik bongsunya yang sangat disayanginya diserahkan kepada sepasang suami isteri yang datang dari bandar. Berpisah dengan adik bongsu tersayang sangat menyayat hatinya tetapi dia tidak berkuasa berbuat apa-apa. Dia tidak menyalahkan ibu bapanya kerana berubat demikian. Dia sedar semuanya itu terjadi disebabkan kemiskinan yang mereka hadapi. Diam-diam Darif berazam untuk membawa dirinya dan keluarganya keluar dari alam kemiskinan itu dan dia mengambil semula adik bongsu kesayangannya yang ‘dirampas’ daripadanya. Cita-cita, azam dan tekad membuat Darif belajar bersungguh-sungguh. Dia tidak memperdulikan hal lain kecuali pelajarannya. Dia merasakan orang lain tidak memperdulikannya kerana keluarganya miskin. Kaum keluarga sebelah ibu dan bapanya tidak pernah menjenguk mereka kerana mereka orang miskin. Darif mengalami peristiwa sedih kali keduanya apabila ibunya meninggal dunia. Hanya beberapa orang sahaja yang mengiringi jenazah ibunya ke tanah perkuburan. Darif melihat orang miskin sepertinya hidup tidak diperdulikan dan mati juga tidak diperdulikan. Masyarakat tidak memperdulikan keluarganya kerana mereka miskin. Darif yang miskin itu menyisihkan dirinya daripada masyarakat. Dia hanya bertemankan pelajarannya.

Satu hari di dalam kelasnya, Darif telah tersalah membuat karangan dan guru darjahnya menjadikan kesalahan itu sebagai teladan kepada murid-murid yang lain. Darif dipaksa membacakan karangannya di hadapan kelas. Semua murid mentertawakannya. Darif berasa sangat terhina. Walaupun dia anak orang miskin tetapi dia masih mempunyai harga diri. Dia tidak suka ditertawakan. Sejak hari itu dia sangat cermat dan teliti dalam membuat tugasan sekolahnya. Dia tidak mahu maruahnya tercemar lagi. Dipendekkan cerita Darif telah berjaya dalam persekolahannya. Dia kemudiannya mendapati pekerjaan yang baik. Pada hari pertama dia melaporkan diri bosnya telah memberi peringatan bahawa dia mahu melihat pekerja-pekerja di bawahnya bekerja dengan rajin, jujur, cermat dan berdedikasi. Dia tidak akan bertolak ansur dengan pekerja yang tidak mampu menyumbangkan hasil kerja yang baik. Darif memegang sungguh-sungguh pada peringatan pertama bosnya itu. Dia tidak mahu kehilangan pekerjaannya dan hidup susah seperti bapanya. Dia menumpukan sepenuh perhatian kepada pekerjaannya. Dia tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekelilingnya. Tumpuannya hanyalah pekerjaan. Dia sentiasa mencari jalan memperbaiki mutu kerjanya. Hari-hari yang baharu menampakkan mutu kerja Darif yang lebih baik, sentiasa meningkat kebaikannya sehingga mencapai peringkat cemerlang. Darif dinaikkan pangkat dan kemudian dinaikkan lagi ke pangkat yang lebih tinggi sehingga dia menjadi orang penting dalam organisasinya. Dia menjadi mata yang mengawasi perjalanan organisasinya. Dia terlibat membuat dasar organisasi. Dia adalah umpama jantung yang menghantar darah kepada semua anggota organisasinya. Begitulah kejayaan yang telah dicapai oleh Darif yang asalnya seorang anak miskin yang terpaksa berpisah daripada adik bongsu kesayangannya, dihina oleh kawan-kawan sedarjahnya dan disisih oleh masyarakat.

Mengapa Darif mudah tersinggung dengan kritikan ketuanya? Jika diselam dengan mendalam ke dalam lautan sejarahnya maka akan didapati ia berkait rapat dengan peristiwa guru kelas yang telah menjadikannya bahan tertawan. Peristiwa tersebut sentiasa hidup dalam jiwanya. Setiap kali ketuanya membuat kritikan terhadap dirinya, ‘lampu’ peristiwa itu akan menyala. Keadaan ini bukan bermakna wajah guru darjahnya itu yang sentiasa muncul dalam fikiran Darif. Perkara pokok yang menghantui fikiran Darif ialah pengalamannya yang merangkumi perasaan dan sebagainya.

Kita ambil satu contoh. Katakan kita pernah terpegang seekor ular pada masa lalu. Pengalaman itu melahirkan rasa geli yang amat sangat. Kejadian memegang ular hanyalah satu pengalaman yang berlaku beberapa ketika sahaja tetapi rasa geli yang lahir daripadanya tertanam dan tersembunyi erat dalam jiwa kita. Rasa geli itu akan muncul apabila kita berhadapan dengan sesuatu yang menyerupai ular, misalnya tali atau tali pinggan.

Peristiwa adalah alat yang melahirkan sesuatu daya-rasa atau sifat. Misalnya, seorang pemuda pernah dikecewakan oleh seorang gadis. Pengalaman itu melahirkan sifat tidak mempercayai semua perempuan pada jiwa pemuda tersebut. Setiap kali ada perempuan yang cuba mendekati pemuda itu maka perempuan tersebut akan mendapat layanan yang kasar. Begitulah juga keadaan Darif yang memakai sifat-sifat yang terbentuk oleh kejadian yang menimpanya terutamanya ketika dia kanak-kanak.

Mengapa pula Darif sangat sensitif dengan isterinya? Kehidupan awalnya membuat Darif bermusuhan dengan kemiskinan. Kemiskinan adalah musuh tradisinya. Dia telah berusaha bersungguh-sungguh, berjuang dan berkorban sehingga akhirnya dia berjaya mengalahkan musuhnya itu. Kejayaan dalam pekerjaan adalah kemenangan baginya. Bila isterinya cuba menariknya daripada hal-hal yang berkaitan dengan pekerjaannya, dia merasakan isterinya tidak menghargai pengorbanan dan kejayaannya. Baginya tanpa pengorbanan dan kejayaan itu tidak mungkin mereka sekeluarga boleh hidup senang, tidak seperti keluarganya di kampung dahulu. Sesiapa sahaja yang tidak menyebelahi pekerjaannya bermakna mereka menyebelahi musuh tradisinya. Dia boleh menerima jika orang lain berbuat demikian tetapi dia sangat tersinggung jika isterinya sendiri bersefahaman dengan musuhnya. Atas dasar yang sama dia mudah naik radang dengan anaknya. Darif pernah mengalami penderitaan batin akibat berpisah daripada adik bongsunya. Perpisahan itu menyebabkan terjadi kekosongan pada satu bahagian daripada hatinya. Kekosongan tersebut melahirkan  satu bentuk peribadi pada dirinya. Anaknya menjadi suis yang menyalakan peribadi tersebut. Kemarahannya kepada anaknya lebih merupakan rasa kecewanya terhadap dirinya kerana tidak berdaya menghalang perpisahan daripada adik bongsunya dahulu. Pada zahirnya dia memarahi anaknya tetapi hakikatnya dia memarahi dirinya sendiri ketika dia kanak-kanak dahulu.

Darif mencapai kejayaan dalam kerjayanya. Tetapi, dia terus juga menambahkan kelajuannya kerana dia telah mendidik dirinya bertahan-tahun menggunakan keupayaan pada aras yang maksimum. Dia hanya mahu menambahkan kelajuan sahaja. Sikap ini mengakibatkan dia kelesuan dan membawanya sesat dalam kebuntuan.
Darif boleh mengesan punca penyakitnya dengan menyelam ke dalam lautan sejarahnya sendiri. Pengetahuannya tentang proses pembentukan sifat dan keperibadiannya akan membantunya mengubati penyakitnya. Perjalanan kehidupan telah mengasuhnya supaya mempunyai jiwa yang kuat. Perkara ini adalah bagus. Kekuatan jiwa itu telah membawanya mencapai apa yang dia cita-citakan. Kesilapannya hanya sedikit sahaja iaitu dia membiarkan kekuatan jiwanya itu mengawal dirinya dia sendiri yang mengawal kekuatan itu.

Kita misalkan jiwa sebagai sebuah negara. Negara tersebut dijajah dan rakyat perlu menentang penjajahan tersebut. Rakyat memerlukan pemimpin yang berjiwa kuat dan mempunyai satu bentuk keperibadian yang boleh memandu dan memberi semangat kepada rakyat untuk berjuang. Biasanya pemimpin yang berjiwa dan berperibadian demikian, walaupun berjaya membawa kemerdekaan kepada negaranya namun, dia mempunyai kekurangan dalam menggunakan sebaik mungkin kemerdekaan yang telah dicapai. Banyak negara di dunia mengalami kemunduran selepas mencapai kemerdekaan dan dipimpin oleh pejuang kemerdekaan. Hal ini disebabkan semangat menentang penjajah berkobar terus, tidak berubah menjadi semangat membangun negara. Perubahan ke arah yang lebih baik hanya berlaku apabila negara tersebut diperintah oleh orang lain yang tidak terlibat dalam menentang penjajah. Semangat dan kekuatan mencari kemerdekaan boleh merosakkan kemerdekaan jika tidak dikawal. Perkara yang sama juga boleh terjadi kepada diri kita. Kekuatan untuk mencapai kejayaan, dan kekuatan mengawal kejayaan yang sudah diperolehi adalah berbeza. Kejayaan diperolehi dengan kekuatan yang melonjak-lonjak dan kurang kawalan, Setelah kejayaan diperolehi kekuatan tersebut perlu dikawal agar kejayaan tidak menjadi rosak.

Darif perlu menyusun semula dirinya dengan meletakkan semua peralatan yang ada Padanya, di bawah kawalan yang matang dan berhemah. Darif perlu mengubah peranannya daripada menjadi ‘mata’ yang mengawasi anggota organisasi kepada ‘jambatan’ yang menyambung individu dalam organisasi. Dia tidak perlu menjadi nadi organisasi, dia hanya perlu menjadi penyelaras yang mengharmonikan perjalanan organisasi. Dia tidak perlu melihat kepada pencapaian peribadinya tetapi melihat pencapaian kumpulannya. Dia hendaklah lebih yakin untuk mengagihkan kerja kepada individu-individu di bawahnya. Perubahan sikap begini akan menjadikannya lebih bijak mengawal pekerjaan tanpa menjejaskan produktiviti secara berkumpulan. Pada masa yang sama juga dia berpeluang untuk mengisi masanya bersama-sama keluarga dan masyarakat.

Darif adalah contoh manusia yang terjebak dalam penyakit ketagih kerja akibat pengalaman hidup sewaktu kecil. Ada juga orang yang menjadikan pekerjaan sebagai tempat pelarian kerana masalah rumahtangga.


 
5: PENYAKIT GANAS DAN KEJAM

Manusia secara umumnya memang mempunyai keupayaan untuk bertindak ganas dan kejam. Emosi negatif ini boleh muncul dalam bentuk perkataan dan perbuatan. Dalam diri manusia memang ada ‘kilang’ yang menghasilkan keganasan. Perkataan memaki hamun dan mencarut dikeluarkan oleh kilang ini. Perbuatan memukul dan merosak juga merupakan hasil kilang yang sama.  Keganasan ini tidak semestinya ditujukan kepada sesama manusia, malah ditujukan juga kepada binatang dan benda. Perbuatan memukul binatang dan mengoyakkan pakaian boleh diistilahkan sebagai ganas. Ada juga perbuatan yang zahirnya kelihatan ganas tetapi merupakan perbuatan yang terpuji. Seorang yang bertindak ganas kerana mempertahankan harta dan maruahnya adalah melakukan perbuatan yang terpuji. Orang yang bertindak ganas kerana mencerobohi hak orang lain adalah berbuat keganasan yang dikeji. Perbezaan antara dua bentuk perbuatan itu adalah yang terpuji itu disertai oleh perasaan peri-kemanusiaan sementara yang dikeji itu dilakukan tanpa perasaan peri-kemanusiaan. Keganasan yang tidak berperi-kemanusiaan inilah yang menjadi bahan penelitian kita. Mengapa manusia boleh melakukan keganasan di luar batas peri-kemanusiaan.

Dalam kajian terhadap keganasan dan Kekejaman yang paling penting diperhatikan ialah “KEMANUSIAAN”. Ketika melakukan keganasan dan Kekejaman seseorang manusia itu tidak mempunyai perasaan peri-kemanusiaan, bermakna pada ketika itu dia bukan seorang manusia. Lebih tepat jika dikatakan ketika melakukan keganasan, orang yang berkenaan bukanlah manusia tetapi binatang. Tidak ada bezanya binatang ini daripada seekor harimau, cuma rupa sahaja yang berbeza. Ketika melakukan keganasan seorang manusia itu berubah menjadi ‘harimau jadian’. Banyak harimau jadian wujud dalam masyarakat.

Harimau jadian ada dua jenis. Jenis pertama hanya menjelma di hadapan orang tertentu sahaja sementara jenis kedua tidak mengira orang atau tempat. Harimau jadian jenis pertama melakukan keganasan terhadap mangsa yang sama, misalnya kanak-kanak dalam jagaannya atau isterinya.

Jenis kedua tidak mengira mangsa. Jenis kedua ini boleh dibahagikan kepada golongan tidak profesional dan golongan profesional. Golongan yang tidak profesional ialah mereka yang berubah menjadi ganas dalam suasana tertentu sahaja seperti merusuh ketika pertandingan bole sepak. Golongan profesional ialah penyamun, perompak, pembunuh upahan, perogol dan yang seumpamanya. Secara kasarnya golongan ganas, kejam dan tidak berperasaan peri-kemanusiaan boleh dibahagikan kepada:
 1:  Orang yang bertindak ganas terhadap mangsa yang sama
 2: Orang yang bertindak ganas terhadap mangsa  yang berlainan, dan boleh pula dibahagikan kepada  dua golongan:
a) Orang yang bertindak ganas dengan persediaan dan perancangan.
b) Orang yang bertindak ganas tanpa perancangan.

Kes kajian

Cuba kita buat kajian tentang orang yang bertindak ganas terhadap mangsa yang sama. Abu Zalim adalah seorang yang berperwatakan lemah-lembut. Dia mempunyai pekerjaan yang baik di sebuah jabatan kerajaan. Perwatakan yang baik itu membuatnya disenangi oleh kawan-kawannya. Sesiapa sahaja yang mengenali Abu Zalim akan berkata bahawa dia seorang yang baik.

Abu Zalim sudah beristeri dan mempunyai tiga orang anak. Selain tiga orang anak-anaknya, dia juga memelihara seorang anak saudaranya yang berumur empat tahun. Ibu bapa kanak-kanak itu sudah bercerai. Bapanya menghilangkan diri entah ke mana. Emaknya, kakak Abu Zalim, khabarnya berada di Kuala Lumpur dan dikatakan terjebak di lembah maksiat. Si kakak itu meninggalkan anaknya kepada Abu Zalim tanpa bertanya samada adiknya itu sanggup atau tidak memelihara anaknya. Semenjak Abu Zalim memelihara anaknya si kakak itu tidak pernah menghantarkan Perbelanjaan untuk anaknya. Si anak kecil itu pula sentiasa berselera, memakan apa sahaja yang ada di bawah saji. Sudahlah begitu, nakal pula. Beberapa biji pinggan telah pecah kerananya.

Abu Zalim mempunyai satu tabiat buruk iaitu meminum arak. Ketika dia mabuk dia akan bertindak mengganasi anak saudaranya. Di antara keganasan yang dilakukan oleh Abu Zalim terhadap anak saudaranya ialah:
1) Menampar, menumbuk, menendang dan menerajang.
2) Melibas dengan tali pinggan.
3) Mencucuk potong rokok yang masih menyala ke badan.
4) Meletak seterika panas pada tubuh.
5) Menyiram tubuhnya dengan air panas.
6) Lain-lain

Bagaimana perkara ini boleh terjadi. Seorang yang lemah-lembut dan baik hati dengan semua orang berubah menjadi harimau jadian dengan anak saudaranya sendiri yang baharu berumur empat tahun. Abu Zalim adalah seorang insan dengan semua orang tetapi bertukar menjadi haiwan apabila berhadapan dengan satu orang. Mengapa? Adakah kerana anak saudaranya itu kuat makan, nakal dan memecahkan pinggan mangkuk? Jika itulah sebabnya mengapa dia tidak menyiram air panas kepada anak saudaranya itu ketika budak itu sedang makan atau berbuat nakal atau memecahkan pinggan mangkuk? Mengapa dia bertindak ganas ketika dia sedang mabuk? Mungkin kemabukan itu membuatnya menjadi ganas. Mengapa pula dia bertindak ganas terhadap anak saudaranya seorang sahaja sedangkan ketika dia mabuk itu anak-anaknya sendiri ada di situ. Boleh jadi juga kerana emak budak itu tidak menghantarkan wang belanja. Sekiranya itu puncaknya mengapa dia tidak membiarkan budak itu mati kebuluran? Mungkin dia tidak sampai hati untuk membiarkan anak saudaranya itu mati kebuluran. Mengapa pula dia boleh sampai hati menyiramnya dengan air panas dan menyeterikakan badannya?

Perbuatan ganas bukanlah satu perbuatan yang mudah dilakukan, lebih-lebih lagi terhadap kanak-kanak yang berumur empat tahun, yang belum mengerti erti betul dan salah. Jika kita membawa seorang kanak-kanak yang berumur empat tahun dan kita tawarkan sesiapa yang sanggup menyeterikakan kanak-kanak itu akan mendapat upah, kita akan dapati tidak ada orang yang sanggup melakukannya. Kita tawarkan juga kepada Abu Zalim yang pernah menyeterikakan perut anak saudaranya. Bukan sahaja Abu Zalim tidak menerima tawaran tersebut malah kita dimarahinya. Tidak ada manusia, termasuklah Abu Zalim, yang sanggup berlaku kejam kepada kanak-kanak yang tidak berdosa sekalipun diberi upah untuk berbuat demikian. Tetapi mengapa pula Abu Zalim tergamak berlaku kejam kepada anak saudaranya tanpa diupah?

Dalam pencarian jawapan terhadap soalan ini, bawalah kanak-kanak tadi ke kandang harimau dan campakkannya kepada harimau lapar itu. Si harimau akan bertindak ganas dan kejam terhadap kanak-kanak itu tanpa perlu diupah. Jadi, hanya binatang buas boleh bertindak ganas. Ketika Abu Zalim mendera anak saudaranya, dia benar-benar bertukar menjadi binatang buas, bukan seumpama binatang buas. Sifat kemanusiaan tertanggal daripada Abu Zalim dan sifat binatang buas menguasainya. Pada ketika itu Abu Zalim dan harimau mempunyai sifat yang serupa. Sifat binatang buas hanya boleh menguasai Abu Zalim dengan kehadiran anak saudaranya. Sekiranya anak saudaranya tidak tinggal dengannya sifat ganas itu tidak mungkin muncul pada diri Abu Zalim sehingga ke akhir hayatnya.

Dalam memahami kes Abu Zalim, mula-mula kita hendaklah menutup sifat si mangsa supaya kita tidak memandangnya sebagai anak kecil yang tidak berdosa. Kita andaikan yang mangsa Abu Zalim itu adalah seorang dewasa. Bila melihat tindakan Abu Zalim terhadap orang ini kita dapat membayangkan bahawa tentu pada satu masa dahulu dia telah berbuat kejam dan Zalim kepada Abu Zalim. Tentunya perbuatannya sangat menyeksa Abu Zalim, membuatnya kehilangan sesuatu yang sangat berharga sehingga melahirkan rasa marah, benci, dendam dan keinginan untuk menuntut bela yang sangat kuat dalam diri Abu Zalim. Perasaan marah, benci dan dendam apabila berkumpul akan menghasilkan keupayaan tenaga ganas yang kuat, mencari-cari peluang untuk membalas dendam. Tenaga ganas ini wujud dalam diri seseorang sebagai seekor binatang buas yang bersedia dan menacari peluang untuk menerkam mangsanya.

Sekiranya mangsa Abu Zalim itu seorang dewasa mudah diandaikan punca perbuatan ganasnya. Tetapi apabila kita mengenangkan bahawa mangsanya itu adalah kanak-kanak yang tidak pernah berbuat aniaya kepada Abu Zalim maka kita berasa ada keganjilan di situ. Mengapa Abu Zalim membalas dendam ke atasnya?  Fakta yang diketahui tentang kanak-kanak itu ialah dia adalah anak kepada kakak Abu Zalim. Fakta ini memberi bayangan tentang sesuatu rahsia antara Abu Zalim dengan kakaknya. Bila diselami lautan sejarah Abu Zalim kita temui keadaan yang mengharukan. Ketika si kakak berumur 17 tahun dan Abu Zalim berumur 14 tahun, si kakak telah melakukan kesalahan yang besar yang mengakibatkan 10 tahun kemudian anaknya didera dengan hebat sekali. Si kakak itu telah mencari wang bapa mereka sebanyak tiga ratus ringgit untuk membayar hutangnya. Si bapa ini seorang yang bengis, garang dan cepat meradang (penyakitnya tidak pernah dikesan, apalagi diubati). Si bapa membawa Abu Zalim dan kakaknya ke muka pengadilan. Melihat rupa bapa mereka yang kemerahan dengan mata yang bersinar-sinar, si kakak menjadi takut, gerun dan panik. Dalam ketakutan itu si kakak hanya memikirkan cara untuk menyelamatkan dirinya sahaja. Dia mengakui bahawa dia sendiri melihat adiknya, Abu Zalim, mencari wang bapa mereka. Si bapa mempercayai keterangan ‘saksi’ ini dan memutuskan segala keterangan Abu Zalim tidak relevan. Abu Zalim tidak mengakui salah, bapa mereka tidak mempercayainya. Bapa yang menjadi hakim itu menjatuhkan hukuman ke atas Abu Zalim. Abu Zalim diikat pada tiang rumah. Abu Zalim ditampar. Dia tidak mengakui salah dan tidak mengembalikan wang bapanya. Abu Zalim dibelasah dengan tali pinggan. Abu Zalim masih juga tidak mengakui salah dan tidak mengembalikan wang bapanya. Abu Zalim disiram dengan air panas. Dia tetap tidak mengaku salah dan tidak mengembalikan wang  bapanya. Seterika panas diletak di punggung Abu Zalim. Dia masih juga tidak mengaku salah dan tidak mengembalikan wang bapanya. Abu Zalim tidak ingat lagi apa yang berlaku. Bila dia sedar dia sudah berada di wad hospital dan diberitahu dia telah pengsan selama tiga hari. Seluruh tubuhnya terasa sakit. Dia tidak dapat berbaring atau meniarap dengan selesa. Dia menjadi sangat takut melihat darah keluar dari kemaluannya. Dia takut dan mengagak dia sudah mengalami kecacatan dari segi kelakiannya. Itulah harta yang paling berharga baginya.

Satu bulan Abu Zalim dirawat di hospital. Dia menanggung penderitaan yang amat sangat, iaitu penderitaan zahir dan batin. Ketika menahan penderitaan itulah dia mula bersahabat dengan ‘binatang buas’ yang berkelakuan sangat jinak dengan Abu Zalim. Binatang buas itulah yang telah berjaya memberinya semangat supaya menahan segala kesakitan dan penderitaan kerana suatu hari nanti dia pasti akan dapat menuntut bela. Abu Zalim memelihara binatang buas yang jinak itu dan mengurungnya di dalam kandang dirinya. Tiap-tiap hari binatang buas itu diberi makan dengan diperingatkan supaya bersedia untuk menuntut bela. Ia hidup segar dalam diri Abu Zalim.

Setelah sebulan di hospital Abu Zalim dibenarkan pulang ke rumahnya. Binatang buas dalam diri Abu Zalim mencuba keluar untuk membalas dendam terhadap kakaknya, tetapi kehadiran bapanya dapat mengawal pintu kandangnya daripada terbuka. Ketidakupayaan membalas dendam menyebabkan binatang buas dalam diri Abu Zalim semakin lapar dan semakin bengis. Keadaan ini disebabkan dia tidak berpeluang melepaskan geramnya.

Semasa di hospital semua kakitangan hospital memberi layanan yang baik kepada Abu Zalim. Bila pulang ke rumah jiran-jiran memberi simpati kepadanya. Ketika di sekolah kawan-kawan menunjukkan sifat bertimbang-rasa dan mereka banyak membantunya. Semua orang berbaik-baik dengan Abu Zalim kecuali kakaknya. Dan, Abu Zalim berbaik-baik dan bersopan santun dengan semua orang kecuali satu orang, iaitu kakaknya.

Abu Zalim tidak melepaskan dirinya daripada kembimbangan tentang sifat kelakiannya yang mungkin cacat. Dia tidak tahu dengan pasti tetapi dia sangat bimbang. Pergolakan dalam jiwanya mengheretnya ke dalam alam arak. Kemasukan air arak menambahkan kebengisan binatang buas dalam peliharaannya.

Setelah tamat persekolahan menengahnya Abu Zalim diterima bekerja di sebuah jabatan kerajaan. Jawatannya sederhana dan gajinya juga sederhana tetapi mencukupi untuk menyara kehidupannya. Bapanya telah meninggal dunia. Kakaknya telah berkahwin. Mereka telah tinggal berasingan. Abu Zalim merasakan peristiwa pahit yang dialaminya dahulu sudah dilupakannya. Kemudiannya dia berkahwin dan mendapati kelakiannya masih berfungsi sekalipun sedikit tidak memuaskan. Walaupun keadaan ini sedikit mengecewakannya namun, dia dan isterinya boleh hidup aman. Binatang buas yang dipeliharanya tinggal diam, tidur di dalam dirinya kerana tidak ada apa yang ia boleh buat. Abu Zalim bertambah dewasa dan sifat kemanusiaannya dapat mengawal pintu kandangnya daripada terbuka. Dia hidup bahagia terutamanya bila dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Satu hari binatang buas dalam diri Abu Zalim yang tidur nyenyak telah dikejutkan. Kakak Abu Zalim tiba-tiba sahaja datang membawa anaknya yang berumur empat tahun. Si kakak meninggalkan anaknya untuk dijaga oleh Abu Zalim tanpa meminta persetujuan Abu Zalim. Dia mahu ke Kuala Lumpur, mencari pekerjaan untuk menyara kehidupannya setelah berpisah dengan suaminya.  Kehadiran kanak-kanak itu menjadi suis yang menghidupkan ‘penderitaan’ Abu Zalim di dalam akal tidak sedarnya. Kebinatangan yang di dalam dirinya memberontak tetapi kemanusiaannya boleh mengawal kebinatangannya. Anak kakaknya itu adalah seumpama seekor anak kucing yang bermain-main di tepi kandang harimau. Harimau memandangnya dengan geram tetapi tidak dapat bertindak kerana kemanusiaan Abu Zalim Melindungi kanak-kanak itu. Tetapi, tatkala Abu Zalim mabuk sifat kemanusiaannya tidak berfungsi dan harimau dalam dirinya terlepas. Sang harimau meluru keluar membaham sang kucing tanpa belas kasihan kerana kemanusiaan yang memiliki kasihan belas tidak ada ketika itu. Apa yang terjadi ialah seekor harimau mengeroyok seekor kucing, bukan Abu Zalim mendera anak saudaranya.  Sang harimau memakai rupa Abu Zalim dan sang kucing memakai rupa seorang kanak-kanak. Abu Zalim dan anak saudaranya hanyalah alat kepada ‘tenaga’ yang menguasai keadaan ketika itu. Apabila harimau itu sudah kenyang ia masuk semula ke dalam kandangnya. Kemabukan telah hilang dan Abu Zalim telah kembali kepada kemanusiaannya. Dia merawat luka anak saudaranya. Dia pergi ke tempat kerja seperti biasa, baik dengan semua orang, Padahal semalam dia adalah seekor harimau yang sangat ganas. Dia boleh masuk semula ke dalam masyarakat tanpa membaham sesiapapun. Tidak ada tanda-tanda yang dia telah mengeroyok seorang kanak-kanak yang lemah dan tidak berdosa. Bila dia kembali mabuk kemanusiaannya hilang semula dan harimau dalam dirinya terlepas lagi untuk mengeroyok mangsanya.

Begitulah pekerjaan harimau yang dilahirkan melalui adunan perasaan marah, benci dan dendam. Ia sanggup membalas dendam terhadap seorang kanak-kanak. Hal yang sama boleh terjadi, seorang yang berasa dikhianati oleh Indira Gandhi membalas dendam dengan membunuh Rajiv Gandhi, anak Indira Gandhi. Indira Gandhi yang ‘bersalah’ tetapi anaknya dibunuh. Begitu juga keadaan orang yang menculik anak orang kaya kerana mahu membalas dendam terhadap orang kaya itu. Harimau yang bernama dendam tidak mengerti soal hukum akal dan hukum lojik. Istilah kasihan dan simpati tidak ada dalam kamusnya.

Harimau dalam diri Abu Zalim akan muncul dari masa ke masa setiap kali kemanusiaannya tertanggal daripada dirinya. Binatang ganas itu hanya dapat dikawal oleh kemanusiaan, oleh sebab itulah agama mengharamkan segala makanan, minuman dan perbuatan yang merosakkan kemanusiaan. Akibat perbuatan harimau yang dipeliharanya Abu Zalim ditangkap dan dipenjarakan selama empat tahun. Abu Zalim yang masuk penjara tidak serupa dengan Abu Zalim yang dimasukkan ke hospital ketika berumur 14 tahun dahulu. Abu Zalim dahulu boleh menerima persahabatan yang ditawarkan oleh seekor binatang buas kerana Abu Zalim itu memerlukan semangat untuk bertempur dalam membalas dendam. Abu Zalim yang dipenjarakan ini tidak lagi dikuasai oleh perasaan marah, benci dan dendam, sebaliknya dia dikuasai oleh perasaan menyesal dan keinginan untuk bertaubat. Perasaan ini menjadi racun bagi binatang buas dalam dirinya. Apabila banyak racun yang dimakannya binatang itu pun mati dan bebaslah Abu Zalim daripada cengkamannya. Abu Zalim tidak zalim lagi. Penjara menjadi rumah penyembelihan binatang buas yang ada dalam dirinya.

Kes kajian

Satu lagi kes keganasan yang ingin kita teliti ialah seorang suami yang suka bertindak kasar terhadap isterinya tanpa sebab yang munasabah. Si isteri adalah seorang wanita yang baik, lemah-lembut, bertanggungjawab menguruskan rumah tangga, menyayangi suami, mentaati suami dan tidak melakukan apa yang membosankan suami. Si suami pula menunjukkan sikap sentiasa tidak berpuas hati dengan isterinya. Dia tidak pernah membantu isterinya membuat kerja rumah. Keadaannya di dalam rumah itu adalah ibarat seorang raja. Perintahnya mesti dipatuhi. Semua keperluannya mesti disediakan oleh isterinya tanpa dibantu olehnya. Dia tidak suka memuji isterinya, apalagi memujuk. Dia cepat meradang jika isterinya lambat melakukan apa yang disuruhnya. Dia akan lebih meradang jika isterinya memintanya membuat pekerjaan rumah.

Sikap kasar si suami itu sampai kepada Pengetahuan bapanya. Si ayah itu pun pergilah berjumpa dengan anaknya untuk menasihati anaknya itu. Si ayah memberi contoh tentang dirinya agar anaknya boleh mengambil iktibar. Ayah menasihatkan, “Ayah sudah bertahun-tahun berkahwin dengan emak kamu. Emak kamu itu perangainya kasar, bukan macam isteri kamu yang lemah-lembut. Emak kamu suka memerintah ayah supaya berbuat itu dan ini. Ayah ikut kehendaknya kerana tidak mahu berlaku perbalahan. Ayah takut terjadi perkara yang tidak elok yang akan menyusahkan anak-anak. Biarlah orang kata ayah kena ‘queen control’ ayah tidak kesah asalkan rumah tangga selamat. Kamu ini tidak boleh bertolak ansur langsung dengan isteri kamu. Disebabkan kesalahan yang kecil kamu bertindak kasar”. Begitulah nasihat si ayah. Selepas menerima nasihat ayahnya si anak itu menjadi semakin kasar  terhadap isterinya. Mengapa terjadi demikian?
Setelah diselami ke dalam jiwa raga si suami itu maka didapati nasihat ayahnya menceritakan tentang penyakitnya. Sejak kecil hingga dewasa dia berada dalam suasana ‘permaisuri memerintah kerajaan’. Dia biasa melihat ibunya memarahi ayahnya di hadapan orang yang bukan ahli keluarga. Dia biasa mendengar ibunya mengeluarkan kata-kata yang kesat kepada ayahnya. Secara ringkasnya dia telah berada dalam suasana ‘isteri bersikap kasar terhadap suami’ selama bertahan-tahun. Keadaan tersebut membuatnya memusuhi rumah tangga di bawah penguasaan ‘control control’. Sejak kecil hingga dewasa dia mempersiapkan askarnya supaya bersedia untuk berperang dengan ‘queen control’. Askarnya sentiasa bersiap sedia, berwaspada dan berjaga-jaga. Dia memasuki alam perkahwinan dengan kelengkapan dan persediaan yang demikian, maka isterinya diserang bertubi-tubi kerana askar yang sudah dilatihnya bertahan-tahun lamanya itu sudah menguasai pemerintahan dalam dirinya.

Jika kita amati kita akan dapati sikap ganas berkait rapat dengan rasa permusuhan dan dendam, samada terhadap seseorang atau sesuatu keadaan. Keganasan yang dihasilkan boleh ditujukan kepada orang tertentu sahaja ataupun kepada sesiapa sahaja.

Abu Zalim memusuhi dan mendendami  ayah dan kakaknya, mangsanya adalah anak kakaknya. Si suami dalam kes kedua memusuhi dan mendendami suasana ‘queen control’ dalam rumah tangga, dan isterinya yang menjadi mangsa. Begitu juga dengan kes ketagih kerja. Darif memusuhi dan mendendami kemiskinan dan dia mencurahkan ‘tenaga ganasnya’ kepada pekerjaan, tanpa menyakiti sesiapa pada zahirnya, tetapi pada hakikatnya dia menyakiti musuhnya iaitu kemiskinan.

Kes kajian

Contoh ketiga yang berkaitan dengan penyakit memupuk keganasan dalam diri ialah Darus yang membentuk sifat yang berbeza daripada sifat Darif. Kemiskinan membuat Darus merasakan dirinya dilayan seperti sampah oleh masyarakat. Dia merasakan masyarakat tidak ada kasihan belas dan simpati terhadap dirinya. Dia memusuhi dan mendendami masyarakat secara umum. Semasa kanak-kanak dia suka mencuri buah-buahan tanaman orang-orang kampungnya. Sekali sekala dia tertangkap dan dibelasah. Tindakan orang kampung memukulnya itu menambahkan rasa permusuhan dan dendamnya terhadap mereka. Dia bukan setakat membenci orang yang memukulnya, malah dia membenci seluruh masyarakat. Ketika remaja Darus gemar merosakkan kemudahan sebagai tindakan membalas dendamnya. Dia berkawan dengan kumpulan budak-budak nakal yang juga dibenci oleh masyarakat. Bagi Darus sesiapa sahaja yang menjadi musuh orang ramai adalah kawannya. Bila dewasa Darus benar-benar sudah bersedia untuk menjadi musuh orang ramai. Orang seperti Darus berasa seronok jika berjaya menyusahkan orang ramai. Dia berasa megah jika berita kerosakan yang dilakukannya dimuatkan dalam suratkhabar. Dia berasa seolah-olah memperolehi kemenangan sekiranya orang ramai takut kepadanya.

Orang yang bernama Darus ini termasuk ke dalam golongan yang merancang keganasan atau melakukan keganasan dengan persediaan. Ahli golongan ini boleh merogol dan bersedia membunuh mangsanya tanpa belas kasihan. Mereka boleh merompak dan membunuh orang yang dirompak itu. Binatang buas dalam diri orang yang seperti Darus tidak dikurung langsung. Binatang buas ini keluar memerintah sementara diri Darus yang asli dikurungnya. Apa yang berjalan ke sana ke mari dalam masyarakat bukanlah Darus tetapi harimau jadian yang memakai rupa Darus. Darus sudah dipenjarakan oleh harimau jadian itu. Harimau jadian ini tidak mengenal serik. Ia boleh dipenjarakan beberapa kali. Bila keluar penjara ia kembali mengganas.

Orang yang sudah bertukar menjadi harimau jadian sangat sukar diubati. Mengubati orang ini samalah seperti menghalau seekor harimau yang sedang menggonggong mangsanya. Bagaimana hendak menghalau harimau ini daripada makanannya sedangkan ia sedang lapar? Biasanya sang harimau akan mempertahankan makanannya walaupun ia diserang. Kadang-kadang cara mengenakan kesakitan yang sangat kuat kepada harimau itu boleh membuatnya lari meninggalkan makanannya. Darus mungkin boleh kembali menjadi manusia jika dia menjalani hukuman rotan atau dipotong tangannya. Jika harimau yang menguasainya sangat degil hanya tali gantung yang dapat menghalaunya. Agama mengizinkan hukum potong tangan dijalankan sebagai memberi kesempatan kepada orang yang bertukar menjadi harimau jadian supaya kembali menjadi manusia biasa kerana cara lain tidak mampu menghalau binatang buas yang menawannya. Jika cara ini juga tidak berjaya agama mengizinkan dia dibunuh kerana tidak mungkin lagi dia kembali menjadi manusia.

Kita semua memelihara binatang buas dalam diri masing-masing, cuma kadar keganasan berbeza-beza dan tidak kesemua binatang buas tersebut  berpeluang untuk keluar dari kandang mereka. Kita tidak tahu setakat manakah keganasan binatang peliharaan kita kerana ia tidak berpeluang menyatakan keupayaannya. Adakah kita mahu memberinya peluang dengan membiarkannya keluar dari kandang dan menunjukkan kemampuannya? Boleh jadi binatang buas peliharaaan kita lebih ganas daripada yang dipelihara oleh Abu Zalim. Pernah terjadi orang membakar sebuah rumah sehingga seluruh keluarga mati rentung. Permusuhan dan dendam hanya ditujukan ketua keluarga itu tetapi semua ahlinya dihapuskan. Pernah juga terjadi bom jangka dipasang di dalam sebuah kapal terbang yang membawa sebuah pasukan bola sepak. Kapal terbang itu meletup diudara dan kesemua yang ada di dalamnya terbunuh. Permusuhan dan dendam hanya ditujukan kepada pengurus pasukan tetapi satu pasukan menjadi mangsa. Oleh yang demikian janganlah memandang enteng terhadap keupayaan ganas yang kita miliki.